- Iklan -
Berita

PH perlu parti Melayu atau satu lagi gerakan muda?

Penganalisis berbeza pendapat mengenai sejauh mana parti berasaskan belia itu akan menambah nilai kepada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Teoh Yee Shen
2 minit bacaan
Kongsi
Pengundi muda berbaris di stesen mengundi Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac lalu.
Pengundi muda berbaris di stesen mengundi Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac lalu.

Seorang penganalisis politik mempersoalkan sejauh mana parti Muda akan menambah nilai kepada Pakatan Harapan (PH), berikutan pengumumannya untuk bergabung dengan pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mujibu Abd Muis dari Universiti Teknologi Mara berkata Muda hanya memberi sedikit kelebihan kepada PH selain dapat mengurangkan pertembungan banyak penjuru pada pilihan raya.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata parti-parti komponen PH sudah mempunyai sayap pemuda mereka sendiri di mana dengannya mereka boleh mendekatkan diri dengan pengundi muda.

“Sayap pemuda PH – PKR, Amanah, DAP dan Upko – cukup berwibawa untuk memainkan peranan dalam parti masing-masing,” katanya.

Beliau juga berkata di pihak Muda pula, parti itu akan mendapat lebih banyak manfaat daripada jentera dan rangkaian parti yang ditubuhkan PH.

“Parti komponen Melayu yang kritikal adalah lebih baik untuk PH berbanding Muda," katanya.

Bagaimanapun, James Chin dari Universiti Tasmania Australia mempunyai pandangan berbeza, mengatakan Muda akan menjadi tiket PH untuk mendapatkan sebahagian besar undi golongan belia.

Mengakui Muda tidak memperolehi kemenangan yang ketara pada Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini, beliau berkata Muda bagaimanapun menerima sokongan satu pertiga daripada pengundi yang berumur 18 hingga 20 tahun.

“Jika anda pembangkang, anda mahu undi sebanyak mungkin,” tambahnya.

Dengan pelaksanaan Undi 18 atau penurunan had usia minimum mengundi dari 21 kepada 18, 5.8 juta orang tambahan telah tersenarai dalam daftar pemilih dan layak mengundi. 

Sementara 1.2 juta daripada pengundi baru itu berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Chin berkata satu pertiga daripada sokongan mereka dalam kumpulan umur ini akan menjadi jumlah yang signifikan untuk PH, menyifatkan ia sebagai antara sebab Muda berusaha untuk menyertai gabungan itu.

Katanya, jika suasana PRU15 "panas", mungkin 65% hingga 70% pengundi muda akan keluar mengundi.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor, Muda memenangi satu daripada tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.

Parti itu bertembung dengan PKR di kerusi Larkin namun tidak bertanding di dua kerusi DUN di Parlimen Muar – Maharani dan Sungai Balang.

Memandangkan pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah ahli Parlimen Muar, langkah tersebut menimbulkan persoalan bagaimana parti baru itu boleh membuktikan dirinya dapat memikat pengundi pada PRU15 akan datang.

Dalam pada itu, kata Mujibu, pengundi baru dan muda pula sangat kritikal dan sukar diramalkan di peti undi.

"Pengundi baru dan muda tidak semestinya mengundi Muda atau calon muda," katanya.

Menurutnya, walaupun parti-parti yang tampil sesuai dengan apa yang diperlukan golongan belia mempunyai peluang yang lebih baik untuk menang, namun corak pengundian akan bergantung kepada isu yang dibangkitkan dan persepsi ketika pilihan raya diadakan.

Sementara Chin berkata untuk melaksanakan dasar yang memihak  kepada golongan belia, Muda perlu terlebih dahulu mendapatkan kuasa.

"Bagaimana (Muda) dapat membuktikan pengaruhnya adalah seakan persoalan mana terlebih dahulu ayam atau telur. 

“Untuk dipilih, perlu lalui pilihan raya. Jika mereka tak boleh menang, mereka tak boleh nak buktikan,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.