- Iklan -
Berita

Harga rumah mahal, pendapatan rendah, ramai masih tinggal dengan ibu bapa

Ramai miskin bandar tidak mampu untuk membeli rumah sendiri, terutama mereka yang tinggal di bandar besar.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Bangunan pejabat dan perumahan di kawasan sekitar Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang di Tasek Tambahan Ampang, Selangor.
Bangunan pejabat dan perumahan di kawasan sekitar Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang di Tasek Tambahan Ampang, Selangor.

Hassan Basri, 43 tahun, menumpang dan berkongsi flat dengan ibu bapanya dan seorang ibu saudara di Cheras, Kuala Lumpur sejak tahun 2005 selepas tamat zaman persekolahan.

Hassan menyifatkan keadaan rumah dengan dua bilik tidur dan satu bilik air itu sebagai sempit dan bising terutamanya pada waktu petang apabila kanak-kanak keluar bermain di koridor rumah.

Dia seringkali berasa terdesak untuk pindah keluar dari rumah tersebut dan menyewa tempatnya sendiri tetapi status kewangan tidak mengizinkan.

Kadar sewa rumah dan unit bilik tertinggi adalah di Kuala Lumpur menyebabkan Hassan terperangkap dengan perkongsian rumah bersama ahli keluarganya walaupun sudah bekerja dan menganjak ke usia 40 tahun.

"Saya sentiasa mencari bilik yang sesuai untuk disewa tetapi tidak mampu.

“Kadar bayaran yang tinggi tidak memadai dengan upah saya sebagai pemandu bas kilang yang meraih pendapatan kurang RM2000 sebulan," katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Hassan, di rumah flat itu dia tidak memiliki bilik tidur sendiri kerana bilik tidur kedua perlu diberikan kepada ibu saudaranya yang mengalami sakit kencing manis kronik.

"Tiada siapa yang percaya bila saya kata tinggal bersama mak ayah di umur macam ni. Sebab itu saya masih belum berkahwin sehingga sekarang, tidak mampu untuk sara keluarga.

"Ramai juga penduduk di sini kongsi rumah dengan ibu bapa tetapi mereka kebanyakannya bekerja dan sudah berkeluarga. Umur juga masih muda."

Kisah Hassan menjadi semakin biasa dalam kalangan penduduk miskin bandar yang tidak mampu membeli rumah di kawasan bandar-bandar utama seperti di Lembah Klang.

Berdasarkan statistik Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum pandemik Covid-19, jumlah rakyat Malaysia yang tidak mampu membeli rumah berasaskan nilaian harga semasa adalah sangat serius mengikut piawaian standard antarabangsa.

Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu untuk membeli rumah baru yang purata bernilai RM417,262 berbanding harga maksimum rumah yang mampu dimiliki hanya bernilai RM282,000.

Seperti Hassan, terdapat juga mereka yang memilih untuk berkongsi tempat tinggal dengan ahli keluarga atas sebab tanggungjawab sosial seperti menjaga ibu bapa yang tua.

Bagaimanapun, ketika ditanya lebih lanjut, persoalan tentang kemampuan dan kewangan tetap menjadi sebab utama mereka memilih gaya hidup tersebut.

Seorang suri rumah mahu dikenali sebagai Ika juga mengambil keputusan untuk berkongsi rumah bersama ibu bapa meskipun sudah berumah tangga dan mempunyai anak.

Dia menyifatkan dirinya sebagai tidak pernah keluar dari rumah sejak kecil dan dewasa, lebih selesa untuk terus berada di bawah jagaan dan pengawasan ibu bapanya.

"Mungkin sekarang saya yang jaga dan awasi mak bapa saya. Keadaan sekeliling saya masih ada stigma tentang hidup berkongsi rumah. Kenapa saya tak mahu berdikari dan sebagainya.

"Tetapi suami saya seorang sahaja yang cari duit untuk sara keluarga. Kami tak mampu nak beli rumah dalam masa terdekat ini.

"Kami perlu lebih masa untuk menyimpan dan menguruskan duit supaya boleh beli rumah sendiri."

Minggu lalu, syarikat perunding hartanah terkemuka Asia, PropertyGuru melalui Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2022 menyatakan 51% rakyat negara ini tidak layak untuk skim perumahan mampu milik kerajaan dan tidak mampu membeli hartanah tanpa bantuan kewangan.

Ditambah pula dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), bakal pembeli rumah dijangka akan terus berdepan dengan krisis kemampuan dan kebimbangan terhadap kadar inflasi yang berterusan.

Pinjaman rumah sukar lulus

Dalam pada itu, seorang ejen jualan di sebuah syarikat hartanah di Damansara, Selangor berkata tidak dinafikan kadar ketidakmampuan rakyat membeli rumah pertama semakin meningkat.

Menurut Jason Tan yang menjual hartanah di sekitar Lembah Klang sejak 19 tahun lalu, trend itu mula dikesan sejak tahun 2016 apabila kadar OPR berada pada 4.4% berbanding 3.9% pada tahun 2012.

"Harga sebuah rumah tidak lagi mampu milik kerana berkali ganda daripada pendapatan isi rumah setahun.

"Bagaimanapun, hutang atau pinjaman rumah amat penting kerana faktor penggerak pertumbuhan kredit negara.

“Sebab itu, bank akan berusaha untuk luluskan pinjaman dan sokong bantuan kerajaan untuk rakyat milik rumah pertama," katanya kepada MalaysiaNow.

Mengulas lanjut, Jason berkata pengalamannya menjual unit-unit hartanah di kawasan elit dan bandar-bandar pada masa ini amat berbeza dengan situasi yang berlaku 10 tahun lalu.

Ketika itu, katanya, ramai individu berkerja layak mendapat pinjaman tetapi tidak tahu bagaimana proses membeli rumah.

"Sekarang mereka lebih pandai dan tahu proses memohon pinjaman rumah kerana sifu-sifu hartanah terlalu ramai di media sosial.

"Tetapi masalah sekarang, mereka tidak mampu dan tidak layak.

“Jadi tidak hairanlah mengapa ramai yang memilih untuk berkongsi tempat tinggal dengan keluarga dan rakan-rakan,” katanya.