- Iklan -
Berita

Apakah nasib eksport durian Malaysia ke China selepas RCEP?

Walaupun China merupakan pengimport utama durian, negara itu juga kini menggiatkan usaha tanaman durian sendiri.

Azzman Abdul Jamal & Teoh Yee Shen
3 minit bacaan
Kongsi
Bagi pengusaha tempatan, erjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau mungkin menjadi peluang keemasan untuk mendapatkan hasil yang lebih tinggi dengan menampung permintaan yang semakin besar di China.
Bagi pengusaha tempatan, erjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau mungkin menjadi peluang keemasan untuk mendapatkan hasil yang lebih tinggi dengan menampung permintaan yang semakin besar di China.

Penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sememangnya dijangka akan melonjakkan prestasi ekonomi kerana ia memudahkan lagi urusan dagangan dengan negara-negara yang menganggotai blok dagangan terbesar dunia itu.

Menerusi RCEP yang mana rantau Asia Pasifik kini dilihat sebagai pusat graviti perdagangan global baru, Malaysia diyakini akan menerima manfaat terbesar dari aspek keuntungan dalam eksport dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) pada Mac  mengunjurkan peningkatan sebanyak AS$200 juta.

Selain itu, Miti juga bersifat optimis apabila perdagangan dua hala antara Malaysia dan China dijangka mencecah paras tinggi baru.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Lim Ban Hong yang memetik perangkaan perdagangan China menunjukkan perdagangan antara Malaysia dan negara itu bagi tempoh lapan bulan pertama 2022 sudah mencecah AS$131.21 bilion.

Ini menunjukkan perkembangan 21.1% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Namun begitu, disebalik impak positif terhadap prestasi ekonomi negara, terdapat juga kebimbangan sama ada penubuhan RCEP ini akan menyebabkan industri tempatan menjadi terlalu "teruja" terikut-ikut dengan paras baru eksport yang mampu dicapai.

Ini menyebabkan syarikat tempatan berlumba-lumba melabur meningkatkan kapasiti operasi bagi membolehkan mereka memperoleh keuntungan yang lebih tinggi.

Seperti contoh, China yang merupakan pengimport durian terbesar boleh memanfaatkan RCEP untuk mengimport lebih banyak Raja Buah itu dari Asia Tenggara ke negara terbabit dengan kos yang lebih rendah.

Terdahulu, statistik Kastam China menunjukkan import durian segar tahun-ke-tahun meningkat  sebanyak 42.7% kepada 821,600 tan manakala nilai import pula meningkat 82.4% kepada AS$4.205 bilion.

Data ini menunjukkan peningkatan empat kali ganda berbanding 2017 yang mana angka itu dijangka terus melonjak pada masa hadapan terutama dengan wujudnya RCEP.

Oleh itu, pengusaha durian tempatan akan melihat ini sebagai peluang keemasan dan berusaha meningkatkan kapasiti pengeluaran supaya dapat memenuhi permintaan yang semakin bertambah di China sekali gus meraih pulangan yang lebih tinggi.

Namun begitu, China pada masa sama juga dilaporkan sedang mengusahakan tanaman durian mereka sendiri seperti di wilayah Yunnan, Guangxi dan Hainan.

Situasi ini ini pastinya akan menimbulkan persoalan sama ada China akan terus mengimport durian dari Asean dan apakah akan terjadi dengan lebihan bekalan oleh pengusaha tempatan?

Bercakap dengan MalaysiaNow, Pengurus Kanan Jualan Antarabangsa Hernan Corporation Sdn Bhd Wong Kah Meng, menyifatkan situasi ini sebagai bukan satu kebimbangan bagi syarikat pengeluar durian itu pada masa ini.

Katanya, masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan memandangkan laporan mengenai China ingin menghasilkan tanaman durian mereka sendiri masih dianggap satu "perkembangan" baru dan perlu mengambil masa untuk melihat hasilnya.

Beliau berkata, walaupun China merupakan negara yang mempunyai empat musim, ia masih tidak mustahil untuk negara itu menghasilkan tanaman durian memandangkan terdapat beberapa wilayah yang mempunyai cuaca tropika di kawasan selatan.

"Menaman dan menjaga pokok durian bukan senang dan memerlukan kemahiran tertentu," katanya kepada MalaysiaNow.

"Cuaca merupakan elemen paling penting dan ia mengambil masa kira-kira 7 tahun untuk menampakkan hasil."

Wong berkata, sekiranya China berjaya menghasilkan tanaman durian dengan mengubah suai genetik pokok itu, Thailand dijangka akan lebih terjejas memandangkan negara itu mengeksport durian ke China kira-kira 20 kali ganda lebih banyak berbanding Malaysia.

Katanya, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi "penjenamaan" memandangkan hanya negara ini mampu menghasilkan durian jenis Musang King yang menjadi kegilaan di China.

"Di China, mereka tahu rasa Musang King dan lebih gemar membeli buah itu secara keseluruhan," katanya.

"Ia mempunyai nilai sentimental di sana."

Menurut Wong, China merangkumi 60% daripada eksport keseluruhan durian oleh syarikatnya.

"Tahun lepas, eksport durian ke China berjumlah RM50 juta.

“China adalah pelanggan terbesar kami," katanya dan menambah tempoh proses mengeksport durian dari Malaysia ke China mengambil masa kira-kira 3 minggu.

Sementara itu, pakar ekonomi dari Sunway Universiti, Yeah Kim Leng berkata, sekiranya kegilaan durian di China berakhir, ini tidak semestinya akan menjejaskan ekonomi negara memandangkan RCEP menawarkan peluang yang lebih besar kepada Malaysia untuk mengeksport pelbagai jenis produk lain ke negara yang menganggotai blok dagangan tersebut.

Sebanyak 15 negara kini menyertai RCEP yang mana 10 daripadanya adalah dari Asia Tenggara manakala lima lagi ialah China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Katanya, RCEP dilihat sebagai situasi "menang-menang" bagi semua negara yang menyertai  perjanjian perdagangan bebas (FTA) itu.

"Kita perlu melihat gambaran yang lebih luas apabila melibatkan RCEP," katanya.

"Ia tidak terhad kepada satu industri atau produk sahaja.

"Ketiadaan kira-kira 90% tarif dalam kalangan negara anggota RCEP merupakan tarikan utama dan ini memudahkan lagi industri tempatan untuk melangkah ke pasaran antarabangsa dengan kos lebih rendah."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.