- Iklan -
Berita

Bank Dunia semak naik unjuran pertumbuhan Malaysia ketika ekonomi berkembang

Ia menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 6.4% pada 2022 berbanding 5.5% sebelum ini berikutan peningkatan aktiviti ekonomi pada separuh pertama tahun ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara pusat bandar Kuala Lumpur.
Pemandangan dari udara pusat bandar Kuala Lumpur.

Bank Dunia menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2022 kepada 6.4% daripada 5.5% yang dijangkakan sebelum ini, didorong peningkatan aktiviti ekonomi pada separuh pertama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata data menunjukkan ekonomi ini berkembang jauh melebihi jangkaan pada separuh pertama 2022, dipacu oleh penggunaan domestik yang lebih baik dan pertumbuhan eksport yang kukuh daripada sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi.

Beliau berkata prestasi lebih baik yang dicatatkan sektor perkhidmatan, pelancongan dan pembuatan ditambah dengan peningkatan semula yang dialami sektor pembinaan juga menyumbang kepada unjuran lebih baik dan disemak semula itu.

“Kami menjangkakan momentum positif berterusan sehingga separuh kedua…pertumbuhan pada suku ketiga 2022 dijangka meraih manfaat daripada asas rendah suku ketiga 2021 apabila ekonomi menguncup 4.5%,” katanya semasa taklimat media secara maya bertajuk Perkembangan Ekonomi Asia Timur dan Pasifik oleh Bank Dunia pada Selasa.

Beliau berkata permintaan domestik Malaysia disokong baik pada suku kedua, didorong oleh peningkatan yang dialami pasaran buruh serta langkah seperti kenaikan gaji minimum dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Penggunaan swasta meningkat 18.3% pada suku tersebut didorong oleh peningkatan perbelanjaan ke atas item yang diinginkan seperti restoran dan hotel serta perkhidmatan rekreasi manakala pelaburan meningkat 5.8% dalam sektor swasta dan awam, katanya.

Sanghi berkata risiko kenaikan inflasi, kos sara hidup yang lebih tinggi, kesan pengurangan langkah bantuan tunai dan persekitaran luaran yang lembap boleh menimbulkan risiko negatif pada separuh kedua 2022.

“Bagi ekonomi yang hampir 60% bergantung kepada penggunaan swasta dan dua pertiga pertumbuhan disumbangkan oleh penggunaan swasta, sebarang kejutan terhadap permintaan domestik boleh melambatkan atau menjejaskan momentum pertumbuhan pada separuh kedua tahun ini.

“Justeru, pertumbuhan itu mudah terjejas," katanya selain mengingatkan bahawa Malaysia perlu memberi tumpuan kepada membina rangka kerja penggalakan pelaburan yang padu untuk meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI).

Beliau berkata selain itu, Bank Dunia menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2023 kepada 4.2% daripada 4.5% yang dibuat sebelumnya ekoran ketidaktentuan yang dialami dalam persekitaran global.

Terdapat cabaran besar daripada ketidaktentuan ekonomi global termasuk perkembangan terkini di Ukraine, kelembapan di China, peningkatan inflasi dalam negara serta kekurangan pekerja yang boleh mengekang Malaysia daripada mencapai potensi penuh, katanya.

Sanghi berkata bagaimanapun, asas-asas Malaysia kekal kukuh, dan berlandaskan status negara sebagai peserta komoditi utama dan E&E serta gangguan rantaian bekalan yang terhad di Asia berbanding Barat, semua ini akan memberikan sokongan kukuh kepada pertumbuhan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.