- Iklan -
Berita

KSM akan bentang laporan status kemasukan pekerja asing kepada MPN

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata pihaknya sedang mengemas kini laporan itu berdasarkan gerak kerja yang telah dilaksanakan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Dua orang pekerja menolak barangan menggunakan troli di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Dua orang pekerja menolak barangan menggunakan troli di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membentangkan laporan penuh berhubung status kemasukan pekerja asing ke Malaysia kepada Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam masa terdekat bagi merungkai dakwaan berlaku kelewatan.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata pihaknya sedang mengemas kini laporan terbabit berdasarkan gerak kerja yang telah dilaksanakan oleh kementerian itu.

“Wakil KSM ada dalam MPN tapi mungkin tidak maklumkan perkembangan (kemasukan pekerja asing) kepada (Pengerusi MPN) Tan Sri (Muhyiddin Yassin). Kita akan bentangkan kepada beliau tidak lama lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Dialog Berstruktur Tripartite 2022 Wilayah Tengah, Selangor hari ini.

Semalam, Muhyiddin menggesa kerajaan agar menyegerakan proses kemasukan pekerja asing bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja terutama dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta menyatakan kelewatan kerajaan menangani isu itu akan menjejaskan produktiviti selain merencatkan proses pemulihan negara.

Saravanan berkata kerajaan telah meluluskan kuota pengambilan pekerja asing berdasarkan permintaan pelbagai sektor di negara ini dan proses seterusnya adalah terletak kepada majikan untuk menyegerakan pengambilan pekerja asing.

“Kemasukan pekerja asing ini perlu melalui pelbagai proses selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan. KSM telah selesaikan hampir semua tanggungjawab untuk bawa masuk pekerja asing cuma sekarang kita kena kenal pasti di mana punca kelewatan ini,” katanya.

Beliau berkata KSM telah menandatangani memorandum persefahaman dengan beberapa negara sumber antaranya Bangladesh, Indonesia, Kemboja dan India.

Saravanan turut mempersoal permintaan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham yang meminta agar lokasi taklimat khas KSM, yang dijadualkan pada 5 Oktober ini bagi menjawab dakwaan berhubung kegagalan beliau menangani masalah kemasukan pekerja asing dan kekurangan tenaga kerja, ditukarkan ke Parlimen.

“Saya jemput mereka datang untuk lihat sendiri apa yang telah saya lakukan bagi menyelesaikan masalah ini. Ia melibatkan kementerian, jadilah datanglah ke kementerian. Saya akan tunjukkan semua bukti yang ada di kementerian,” katanya sambil menambah taklimat itu juga adalah terbuka kepada petugas media.

Media hari ini melaporkan Ngeh sedia menghadiri taklimat itu namun meminta agar lokasinya ditukarkan ke Parlimen dan dibuka kepada petugas media.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.