- Iklan -
Berita

Siapa untung dalam belanjawan pilihan raya kerajaan campuran?

Kerajaan ketika ini terdiri daripada tiga parti utama: Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional berkibar di Pantai Puteri menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka November tahun lalu.
Bendera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional berkibar di Pantai Puteri menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka November tahun lalu.

Belanjawan 2023 yang bakal dibentang di Parlimen 7 Oktober ini pasti membawa berita gembira kepada ramai pihak, memandangkan ini yang terakhir sebelum Parlimen dibubarkan selewat-lewatnya Julai tahun depan. 

Beberapa program dan pemberian tunai dijangka bakal diumum untuk menambat hati pengundi dalam belanjawan yang dikatakan sebagai belanjawan pilihan raya itu.

Namun ia menimbulkan persoalan tentang gabungan manakah yang bakal menerima manfaat dalam bentuk persepsi positif jika belanjawan itu menerima sambutan  menggalakkan.

Ini kerana kerajaan sedia ada merupakan campuran antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

Pensyarah sains politik Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan menerima kredit untuk bajet walaupun dalam sebuah kerajaan camapuran.

"Kalau Belanjawan 2023 datang dengan gula-gula pilihan raya yang menggembirakan, Ismail Sabri Yaakob akan beruntung, sekali gus Umno dan BN," katanya kepada MalaysiaNow.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya pula berkata, walaupun BN akan menerima manfaat paling besar, ia tidak bermakna PN atau GPS tidak akan menerima manfaat. 

"PN akan menjadi gabungan kedua menerima manfaat kerana menteri ekonomi dan pengerusi Majlis Pemulihan Negara ialah daripada Bersatu yang dianggap perancang utama bajet.

"GPS sekadar penerima namun jika banyak peruntukan untuk Sarawak, imej GPS juga akan naik," katanya.

Menurut Mujibu, GPS lebih menonjol dengan isu-isu di Sarawak dan tidak terkesan dengan isu berkait pembentangan Belanjawan 2023. 

"PN mungkin lebih terkesan memandangkan isu-isu ekonomi dan bajet Covid-19 akan jadi legasi mereka ketika menjadi tonggak kerajaan. 

"Bagaimana itu boleh mengimbangi belanjawan Ismail dan apakah belanjawan Covid-19 dan segala bantuan ketika pandemik tersebut boleh membantu PN untuk membuktikan kewibawaan dan menyuntik keyakinan pengundi terhadap parti mereka akan menjadi persoalan," katanya merujuk kepada tempoh kepimpinan Muhyidin Yassin semasa pandemik Covid-19 melanda negara sejak dua tahun lalu.

Pelbagai bentuk bantuan dan program pembayaran diumumkan ketika itu bagi membantu rakyat berdepan dengan kehilangan pekerjaan dan penutupan ekonomi akibat perintah kawalan pergerakan. 

Sementara itu, penganalisis ekonomi Madeline Berma dari Akademi Sains Malaysia menjelaskan, pembentangan belanjawan itu dilihat akan memfokuskan kepada tiga elemen utama tanpa mengira status belanjawan "berpihak" kepada mana-mana parti mahupun kerajaan campuran. 

Pertama, katanya, penekanan kepada pemulihan ekonomi di saat negara sedang beralih ke fasa endemik. 

Dengan itu, kerajaan perlu mewujudkan pekerjaan dengan mengutamakan pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan pekerjaan. 

"Ada dua teras utama untuk mencapai matlamat tersebut iaitu penciptaan pekerjaan produktif dan peningkatan produktiviti," katanya kepada MalaysiaNow. 

Selain itu, katanya, belanjawan akan fokus menangani peningkatan kos sara hidup. 

Di sini, kerajaan dijangka akan melaksanakan subsidi bersasar untuk menurunkan kos sara hidup rakyat. 

Seterusnya, pembentangan belanjawan katanya akan sepakat untuk menekankan isu kesejahteraan rakyat dengan memperluas perlindungan sosial yang lebih inklusif dan dinamik. 

"Dijangka kerajaan akan memperluas perlindungan sosial kepada pekerja di sektor tidak formal dan bekerja sendiri. 

"Diharapkan ia juga meliputi pekerja pertanian, pekerja migran dan domestik." 

Atas sebab itu, kata Madeline, penekanan kepada kesejahteraan rakyat perlu meliputi kitaran kehidupan rakyat Malaysia. 

Katanya, perlindungan sosial itu perlu diberikan kepada lapisan rakyat dari peringkat bayi sehingga remaja, dewasa yang bekerja, pesara dan golongan tua. 

"Malaysia perlu ada perlindungan sosial bagi melindungi individu dari risiko dan keterancaman multi-dimensi di setiap peringkat dalam kitaran hidup."