- Iklan -
Berita

Di mana kurangnya sektor pelancongan tempatan?

Ramai rakyat Malaysia lebih gemar bercuti di negara lain daripada melancong ke destinasi tempatan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pelancong berkumpul untuk membeli makanan laut di Chinatown, Bangkok. Gambar: AFP
Pelancong berkumpul untuk membeli makanan laut di Chinatown, Bangkok. Gambar: AFP

Cuti bersempena Hari Malaysia memang dimanfaatkan oleh Fadzil Faez yang membawa keluarganya melancong ke Hatyai, Thailand. 

Ia merupakan kali pertama dia menjejakkan kali ke luar negara sejak sempadan mula dibuka. 

Fadzil membawa dua anak kecilnya melihat negara orang selama dua malam. 

"Saya bawa keluarga pergi membeli-belah dan mencuba makanan Siam di sana. Buffet mereka lebih murah. 

“Sebagai contoh, buffet steamboat hanya 300 Baht sekepala manakala anak-anak di bawah 90 sentimeter boleh makan percuma," katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, tempat-tempat menarik di Thailand juga menawarkan kemasukan percuma. 

Menurut Fadzil, dia memilih untuk bercuti ke Thailand kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan jalan raya di Malaysia.

"Di Langkawi, sekarang ini perjalanan feri sudah kurang. Kadang-kadang kita sudah beli tiket pergi, namun tiket balik tiada. 

“Tempat tarikan juga mahal, contohnya kereta kabel di sana berharga RM50, jika ingin ke Skybridge perlu bayar asing," katanya. 

Padanya, perjalanan ke Thailand masih berbaloi walaupun kadar tukaran ringgit tidak sekuat dahulu.

Meskipun tempat masuk di Thailand kadang kala sesak, namun dia berkata tidak sesukar mana jika boleh masuk melalui pintu selain Bukit Kayu Hitam. 

Trend melancong di Thailand baru-baru ini menerima perhatian ramai pihak apabila ada antara mereka yang melahirkan kegusaran mengenai nilai wang ringgit yang dikatakan terjejas dengan trend tersebut.

Seperti Fadzil ramai yang memilih negara Gajah Putih itu sebagai destinasi pelancongan walaupun negara Malaysia mempunyai tarikan pelancongan yang tidak kurang menarik. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, Norain Othman dari fakulti hotel dan pengurusan pelancongan, Universiti Teknologi Mara berkata, Thailand mempunyai lebih banyak kepelbagaian dari segi tarikan pelancongan. 

"Dari segi perkhidmatan hospitaliti, mereka lebih mesra pelanggan, dari pemandu teksi, penjual sehingga ke pekerja hotel. 

"Rakyat Malaysia juga memang lama minat dengan makanan Siam. Harga murah dan amat segar terutama makanan laut," katanya. 

Selain Thailand, Indonesia juga giat memasarkan wilayah-wilayah kedua, atau secondary provinces yang belum popular, dan pada masa yang sama membangunkan tarikan lokal yang unik dan menggambarkan identiti setempat. 

Dari sudut promosi, mereka mempunyai kempen pelancongan merentas pelbagai musim dan festival.

Dari sudut pelancongan domestik, katanya kebanyakan pengembara Thailand sendiri tidak sedar mengenai promosi pelancongan bersifat high-end di negara mereka. 

Kempen "Thais travel in Thailand" meningkatkan kesedaran dan persepsi percutian domestik. 

"Kerajaan Thailand juga beberapa tahun lepas mencipta insentif cukai untuk memperkasakan pelancongan domestik, dan ini menunjukkan hasil positif," katanya. 

Mengenai sektor pelancongan tempatan, Norain berkata rata-rata rakyat tempatan merasakan industri ianya tidak mempunyai operator taman tema high-end yang cukup selain fasiliti untuk keperluan khas. 

"Mereka juga tidak gemar dengan kakitangan gerai yang tidak mesra pelanggan, selain kurangnya produk bertara high-end," katanya.

Antara lain, industri pelancongan tempatan turut terkesan dengan tambang pengangkutan dan harga bilik yang mahal, mutu khidmat pelanggan yang kurang memuaskan, dan cukai perkhidmatan yang tinggi.

Sikap pelancongan atau "travel behaviour" juga berbeza mengikut generasi. 

Norain berkata, generasi “baby boomer” gemar dengan destinasi popular dan tempat keagamaan selain menikmati produk agro-pelancongan. 

Generasi X pula gemarkan citarasa tempatan selain pengalaman alam semula jadi dan kebudayaan di satu-satu negara. 

Mereka akan memilih tempat yang berbaloi dengan bayaran serta lokasi yang mempunyai tawaran makanan dan minuman yang enak.

"Gen Y lebih tertumpu kepada aspek escapism, diversiti kebudayaan, tempat bersejarah dan aneka citarasa. Mereka akan melawat taman negara, pusat perlindungan hidupan luar dan membeli-belah produk berjenama.

"Bagi Gen Z, sikap pelancongan mereka cenderung kepada status sosial, pengalaman baru dan membeli-belah. Mereka tertumpu kepada tempat yang mencabar, rawatan kesihatan dan aktiviti sukan."