- Iklan -
Berita

Kos rawatan sakit jantung dijangka meningkat jika tiada tindakan berkesan, kata KP kesihatan

Noor Hisham Abdullah berkata dianggarkan sebanyak RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos penjagaan kesihatan pada 2017 diperuntukkan bagi perbelanjaan rawatan sakit jantung.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama

Beban kos rawatan bagi penyakit jantung di negara ini dijangka terus meningkat sekiranya tiada tindakan berkesan oleh semua pihak yang berkepentingan dalam mengawal dan mencegah penyakit itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah

Beliau yang memetik laporan The Direct Healthcare Cost of Non-communicable Diseases in Malaysia tahun ini, berkata dianggarkan sebanyak RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos penjagaan kesihatan pada 2017 diperuntukkan bagi perbelanjaan merawat pesakit jantung.

“Oleh itu, kolaborasi antara Kementerian Kesihatan (KKM) dengan lain-lain agensi termasuk jabatan kerajaan, badan-badan berkanun, swasta, dan badan bukan kerajaan amat penting bagi memperkukuhkan tadbir urus penjagaan dan pencegahan penyakit jantung di Malaysia secara lebih menyeluruh.

“Lebih utama, peranan komuniti amat kritikal bagi menjayakan usaha ini,” katanya dalam ucapan aluan Hari Jantung Sedunia yang disiarkan secara maya di Facebook Portal MyHealth KKM, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata penyakit jantung atau penyakit kardiovaskular adalah pembunuh nombor satu dunia yang menyebabkan lebih 18.6 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia.

Katanya daripada jumlah kematian itu, 85% disebabkan penyakit jantung koronori seperti serangan jantung dan penyakit serebrovaskular atau strok yang kebanyakannya melibatkan negara berpendapatan rendah dan sederhana.

“Di Malaysia, penyakit jantung iskemia masih kekal sebagai sebab kematian utama dengan 18,515 kematian atau 17% dicatatkan pada 2020, meningkat daripada 11.6% pada 2000,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali dalam ucapan perasmiannya menyeru kepada ibu bapa untuk menjadi contoh yang baik kepada anak-anak dalam mengamalkan cara hidup sihat bagi mengawal dan mencegah penyakit termasuk penyakit jantung.

Katanya gaya hidup yang kurang sihat seperti pengambilan makanan tinggi lemak, garam dan gula, tabiat merokok, tidak bersenam dan tekanan meningkatkan risiko seseorang kepada pelbagai penyakit.

“Jika kita hendakkan anak-anak yang sihat dan cergas, sebagai ibu bapa, kita hendaklah terlebih dahulu mengamalkan cara hidup sihat. Malah ibu bapa mesti mewujudkan persekitaran dalam menggalakkan pengamalan cara hidup yang sihat,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata sambutan tahun ini yang bertemakan "Hargai Jantung, Sayangi Kehidupan" antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat bagi mencegah penyakit jantung dengan mempertimbangkan cara terbaik menghargai jantung demi kemanusiaan, alam semulajadi dan untuk diri sendiri.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.