- Iklan -
Berita

Bekas kakitangan rayu mahkamah tolak keterangan balas Anwar dalam saman serangan seksual

Muhammed Yusoff Rawther kini dalam usaha membatalkan enam tuduhan pemimpin PKR itu terhadapnya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas pegawai penyelidiknya Muhammed Yusoff Rawther.
Presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas pegawai penyelidiknya Muhammed Yusoff Rawther.

Bekas kakitangan Anwar Ibrahim yang memfailkan saman serangan seksual terhadap presiden PKR itu membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang menolak permohonannya supaya keterangan balas ketua pembangkang itu dibatallkan.

Muhammed Yusoff Rawther, yang menyaman Anwar pada Julai 2021 kerana didakwa menyerangnya empat tahun lalu, memfailkan permohonan supaya mahkamah membatalkan beberapa perenggan daripada keterangan Anwar pada September 2021.

Beliau memohon supaya mahkamah membatalkan enam tuduhan terhadapnya, termasuk mengenai dua individu yang kini sudah meninggal dunia.

Pada 9 September, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya dan memerintahkan beliau membayar kos RM3,500.

Dalam samannya, Yusoff berkata insiden yang didakwa berlaku di rumah Anwar di Bukit Segambut itu terjadi kira-kira 10 hari sebelum presiden PKR itu memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada 13 Oktober 2018.

Beliau memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Anwar melakukan serangan seksual, selain ganti rugi am, teladan dan teruk kerana mengalami trauma serta gangguan fizikal, psikologi dan sosiologi akibat insiden itu.

Yusoff pertama kali membuat dakwaan terhadap Anwar dalam satu akuan bersumpah pada November 2019, diikuti dengan laporan polis.

Semasa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan berkait jenayah mencabul kehormatan, polis telah menjalankan ujian poligraf selama empat jam di Bukit Aman. 

Bagaimanapun, Anwar enggan mengambil ujian tersebut.

Pada 14 Januari 2020, Jabatan Peguam Negara, yang ketika itu diketuai Tommy Thomas, berkata ia tidak akan mendakwa Anwar kerana "bukti yang tidak mencukupi" dan "percanggahan" fakta.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.