- Iklan -
Berita

Pilihan raya waktu banjir tak patut berlaku, kata pakar meteorologi

Menurut pakar banjir besar mungkin berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sementara Sabah dan Sarawak pula dijangka berisiko mengalami situasi serupa pada Januari dan Februari.

Bernama
4 minit bacaan
Kongsi
Seorang warga emas memeriksa rumahnya yang dinaiki banjir di Kampung Delek, Klang tahun lalu.
Seorang warga emas memeriksa rumahnya yang dinaiki banjir di Kampung Delek, Klang tahun lalu.

Dunia kini membicarakan bencana besar yang melanda banyak negara dengan sebahagiannya seperti China dan rantau Eropah mengalami kemarau teruk, sementara Pakistan pula mengalami banjir besar yang berlaku sejak Jun lepas dan hingga kini mengorbankan lebih 1,000 nyawa.

Perubahan iklim global dikatakan penyebab utama bencana itu dan Malaysia juga tidak terkecuali daripada tempiasnya apabila sejak tahun-tahun kebelakangan ini begitu kerap dilanda bah besar luar jangka termasuk di negeri-negeri yang tidak pernah mengalami kejadian tersebut.   

Justeru, ketibaan musim tengkujuh kali ini mencetuskan rasa bimbang dalam kalangan rakyat, bukan sahaja di pantai timur tetapi juga negeri-negeri lain di pantai barat, sementelah Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan monsun timur laut akan membawa hujan lebat berterusan bermula pertengahan November ini dan berpotensi menyebabkan banjir teruk.

Bagaimanapun ramalan cuaca buruk dan risiko banjir besar itu tidak menghentikan desas-desus bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan pada musim tengkujuh nanti, dan mereka yang menghujahkan kewajarannya menjadikan PRU10 yang berlangsung pada November 1999 sebagai contoh. 

Ditanya mengenainya, pakar meteorologi Azizan Abu Samah memberitahu Bernama situasi banjir semasa era tersebut tidak boleh disamakan dengan kejadian banjir pada zaman sekarang yang dipengaruhi oleh perubahan sistem iklim Lautan Hindi yang dikenali sebagai dipole atau IOD.

Ringkasnya, IOD adalah perubahan suhu permukaan air di  bahagian barat dan timur Lautan Hindi yang seterusnya mempengaruhi cuaca bermusim. 

Mengulas lanjut, beliau berkata banjir besar yang dialami Malaysia selalunya dikaitkan dengan fenomena La Nina sepertimana yang berlaku pada 1971, 2014 dan 2021, namun untuk tahun ini, Pusat Pakar Meteorologi Asean (ASMC) meramalkan pada November ini, interaksi La Nina dan negatif IOD akan membawa hujan berlebihan. 

Justeru, kemungkinan berlaku banjir besar adalah tinggi di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sementara Sabah dan Sarawak pula dijangka berisiko mengalami situasi serupa pada Januari dan Februari tahun depan.

“Pada November 1999 (PRU10), Malaysia  juga dipengaruhi  La Nina, tetapi  ketika itu indeks IOD adalah neutral, jadi berlainan sedikit berbanding 2021 dan 2022 yang mana rangsangan untuk menerima hujan berlebihan adalah kuat disebabkan situasi La Nina dan IOD negatif berlaku serentak. 

“Kerana itu ASMC, Biro Meteorologi Australia dan juga MetMalaysia meramalkan lebihan hujan berbanding biasa pada November dan Disember ini yang mungkin menyebabkan banjir di negeri-negeri berisiko. Dari segi iklim, saya rasa Februari lebih sesuai untuk diadakan PRU15,” ujarnya.

Sementara itu, pakar geologi kejuruteraan dan mekanik tanah Dr Nor Shahidah Mohd Nazer berpandangan ketika ini masyarakat, khususnya mereka yang kerap menjadi mangsa banjir, lebih menitikberatkan pengurusan banjir dan kesan ke atas mereka berbanding hal-hal lain termasuk pilihan raya.  

Malah tegasnya, negara juga masih belum bersedia sepenuhnya untuk mendepani bencana alam sekalipun pelbagai usaha telah diambil oleh pihak berkuasa dan mereka yang berkepentingan.

“Pilihan raya umum semasa banjir tidak sepatutnya berlaku dan perlu dielakkan kerana  banjir merupakan satu bencana alam yang boleh menyebabkan kesusahan kepada rakyat yang terkesan.

“Rakyat ketika itu tidak gembira kerana bukan sekadar rumah mereka dinaiki air tetapi juga perlu menanggung kerosakan harta benda. Malah, ada  yang melibatkan kehilangan nyawa ahli keluarga,” katanya kepada Bernama.

Nor Shahidah yang juga pensyarah kanan di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata banyak projek mitigasi banjir, khususnya di kawasan padat seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam, masih lagi dalam pembinaan secara berfasa dan ada yang masih belum bermula.

Beliau mengambil contoh penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi banjir kilat di ibu negara yang dicadangkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),  iaitu membina terowong penyimpanan air bawah tanah berkapasiti tinggi dengan pembinaan dijangka mengambil masa memandangkan skala projek yang besar. 

"Jika kita telah ada satu pelan tuntas, misalnya seperti cadangan pembinaan terowong oleh DBKL, ataupun  empangan sabo yang mencukupi untuk menahan aliran puing (kepala air) dari kawasan perbukitan atau pergunungan yang memungkinkan negara  bersedia menghadapi ancaman banjir yang berlaku setiap tahun, maka kita boleh menimbang keperluan menjalankan pilihan raya ketika musim berpotensi banjir.

"Tetapi hingga kini, kita belum lagi  sampai di tahap tersebut dan kerana itu, sekali lagi  saya tegaskan, sebaiknya pilihan raya  musim banjir dielakkan. Ini kerana keutamaan rakyat wajib didahulukan,” katanya.

Untuk rekod, statistik banjir bagi tempoh 10 tahun lepas menunjukkan pertambahan kawasan terjejas dan peningkatan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) saban tahun.

Tahun lepas sahaja, 136,030 mangsa ditempatkan di PPS  seluruh negara  dengan anggaran kerugian kepada ekonomi negara berjumlah  RM15 bilion.

Jejas peratusan mengundi

Sementara itu, penganalisis politik Prof Madya Dr Jeniri Amir berpendapat  pilihan raya ketika bah akan menjejaskan peratusan yang keluar mengundi sedangkan peratusan tinggi amat diperlukan bagi mencerminkan suara sebenar rakyat.

“Pada hari tersebut, kita mahu pastikan peratusan yang turun mengundi berada pada paras tinggi sekurang-kurangnya 70% atau 75%, bukannya bawah 60% apatah lagi 50%," tegasnya.

“Saya percaya jika  PRU15 tetap dijalankan ketika banyak negeri berdepan banjir, ia boleh memberi implikasi besar dari sudut demografi  kerana mereka yang datang mengundi  itu menggambarkan suara representatif, dan disebabkan itulah kita mahu ramai keluar mengundi,” katanya.

Menurutnya, ketika banjir, keutamaan mangsa adalah menyelamatkan nyawa serta harta benda, dan pelaksanaan PRU ketika itu hanya menambah beban rakyat dan kerajaan sendiri yang perlu berbelanja besar untuk menguruskan operasi PRU ketika banjir dan juga bantuan kepada mangsa.

Pada Januari lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa sebanyak RM1.4 bilion telah diperuntukkan untuk mangsa banjir pada penghujung 2021, meliputi Bantuan Wang Ihsan, Bantuan Pembelian Keperluan Asas serta Bantuan Membina dan Membaik Pulih Rumah.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata PRU pada November 1999 itu adalah satu-satunya pilihan raya umum yang diadakan pada musim banjir di negara ini.

“Berdasarkan rekod dan data ini, saya fikir pihak berkuasa akan cuba mengelak daripada  mengadakan PRU pada  November atau Disember malah Januari juga. Kita harus bergantung pada data, statistik serta nasihat  MetMalaysia, dan  Suruhanjaya Pilihan Raya tidak harus mengambil risiko mengadakan  PRU pada waktu yang mencabar ini," katanya.

Bagaimanapun, penganalisis itu yakin perdana menteri akan membuat pertimbangan wajar sebelum memutuskan tarikh pembubaran Parlimen yang seterusnya perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, sebelum PRU15 boleh diadakan. 

Untuk rekod, penggal Parlimen semasa akan tamat pada 15 Julai 2023 dan PRU mesti diadakan selewat-lewatnya pada 13 September 2023.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.