- Iklan -
Berita

Perangkap pemerdagangan manusia di sebalik tawaran kerja lumayan

Kebanyakan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia sukar diselamatkan atas beberapa sebab.

Teoh Yee Shen
3 minit bacaan
Kongsi
Wakil dari beberapa NGO mengangkat plakad dalam sebuah himpunan di Putrajaya bagi menggesa kerajaan masuk campur dalam isu penipuan kerja di negara asing melibatkan rakyat Malaysia. Gambar: Bernama
Wakil dari beberapa NGO mengangkat plakad dalam sebuah himpunan di Putrajaya bagi menggesa kerajaan masuk campur dalam isu penipuan kerja di negara asing melibatkan rakyat Malaysia. Gambar: Bernama

Susan (bukan nama sebenar) menjalani hari-harinya dengan penuh kebimbangan kerana anak lelakinya berada dalam tahanan pihak berkuasa Kemboja.

Menurut kedutaan Malaysia, anaknya ditahan kerana melancong ke negara itu tanpa dokumen.

Mengenang kembali bagaimana permulaan kisah malang anaknya, Susan berkata anaknya terpikat untuk pergi ke Kemboja dengan janji gaji yang lumayan.

Bagaimanapun, ketika dia tiba di negara itu, dia menyedari bahawa dia telah dibawa masuk secara haram. 

Malangnya, semuanya sudah terlambat.

Dia telah diatur untuk bekerja menggunakan platform media sosial seperti Facebook bagi menjalankan penipuan pelaburan. 

Bagaimanapun, petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan syarikat itu telah menyebabkan dia tertekan dan terpaksa bersaing dengan pekerja lain.

Dia diberitahu jika gagal mendapatkan hasil yang ditentukan oleh syarikat, dia akan dihukum termasuk dipukul.

Akhirnya, dia dijual kepada syarikat lain. 

Tindakan yang dikenakan terhadapnya itu berlaku beberapa kali.

Selepas sindiket mengetahui pemuda itu menerima bantuan, dia dipindahkan ke lokasi lain.

Di Malaysia, Susan melakukan apa yang termampu bagi memastikan anak lelakinya selamat.

Selepas berjaya diselamatkan, anak lelakinya diserahkan kepada pihak berkuasa imigresen Kemboja yang kemudiannya bertindak menahannya kerana melakukan perjalanan tanpa dokumen.

'Perhambaan moden’

Menurut aktivis Adrian Pereira, sukar untuk menyelamatkan rakyat Malaysia yang terperangkap dalam kes pemerdagangan manusia kerana beberapa sebab.

Beliau berkata, antara lain, sistem pengenalan mangsa yang lemah dan kurang cekap dalam menangani isu itu.

Pereira, pengarah eksekutif kumpulan keadilan sosial North-South Initiative, memberi contoh kes di mana seorang wanita Malaysia mengikut teman lelaki warga Nepal pulang ke sana.

Setibanya di sana, visa perjalanannya tidak diperbaharui, dan lelaki itu menyuruh dia melakukan kerja di rumah selama 10 tahun.

"Ini adalah keganasan berasaskan gender dan pemerdagangan manusia,” katanya.

Menurut Pereira, ketika wanita itu pergi ke kedutaan negara untuk mendapatkan bantuan, dia kemudiannya diserahkan kepada pihak imigresen Nepal dan tidak dikenal pasti sebagai mangsa.

Dari sana, wanita itu dikatakan akan ditempatkan di rumah perlindungan.

“Mereka fikir ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan, berdasarkan persefahaman antarabangsa,” kata Pereira.

“Sedangkan ia adalah salah. Dia seharusnya ditempatkan di tempat perlindungan di bawah bidang kuasa kita.”

Pereira, yang kini mengendalikan dua kes sedemikian berkata berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelbagai kedutaan, kakitangan di sana hanya mempunyai “pengetahuan minimum atau langsung tiada pengetahuan" mengenai cara membantu rakyat Malaysia yang terperangkap dalam apa yang disifatkannya sebagai "perhambaan moden”.

Sindiket ‘bijak’

Ketika dihubungi MalaysiaNow, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA berkata pihaknya telah menerima permohonan bantuan sebanyak lebih 100 kes serupa sejak April tahun ini.

Ketua Jabatan Michael Chong berkata sindiket terbabit "bijak" dan akan mengubah taktik bergantung kepada keadaan bagi memancing individu yang kemudiannya akan menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Bagaimanapun, katanya, kadangkala, mangsa dan keluarga mereka sendiri perlu memainkan peranan bagi menangani isu itu.

“Saya ada kes di mana ibu bapa membawa anak mereka ke pejabat saya, dan saya beritahu mereka ia adalah tawaran palsu tetapi mereka masih mahu pergi,” katanya. 

"Mereka percaya wang itu ada."

Beliau berkata mangsa turut diberitahu oleh sindiket bahawa jika mereka mahu dibebaskan, mereka mesti mencari orang lain untuk menggantikan mereka.

“Kemboja, Laos dan Myanmar adalah tiga negara utama mangsa pemerdagangan manusia ini,” katanya.

Sementara itu, Susan kini masih menunggu kepulangan anaknya.

"Belum ada tarikh pasti atau jawapan yang jelas daripada kedutaan kita di Kemboja mengenai bila dia akan dibebaskan," katanya.

“Anak saya diseludup ke luar negara tanpa dokumen perjalanan,” tambahnya.

"Dia adalah mangsa pemerdagangan manusia dan tidak sepatutnya dianggap sebagai penjenayah."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.