- Iklan -
Berita

Kastam rampas rokok seludup bernilai RM10 juta di pelabuhan Johor

Modus operandi sindiket penyeludupan itu adalah dengan membuat pengikraran tidak benar di dalam senarai kargo dan menjadikan pelabuhan sebagai lokasi pemunggahan, sebelum dihantar ke lokasi lain.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengarah kastam Johor Sazali Mohamad (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor. Gambar: Bernama
Pengarah kastam Johor Sazali Mohamad (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor. Gambar: Bernama

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas rokok putih bernilai RM10 juta, dipercayai diseludup dari China selepas menyita sebuah kontena di Bay Pemeriksaan Kastam Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah di Iskandar Puteri, 22 September lepas.

Pengarah JKDM Johor Sazali Mohamad berkata kontena itu disita anggota Bahagian Penguatkuasaan Gelang Patah pada 11.20 pagi, selepas pemeriksaan secara imbasan dilakukan terhadap kontena itu menunjukkan imej meragukan dan tidak sama seperti yang diikrarkan di dalam manifest (senarai kargo).

Beliau berkata kontena itu diikrar di dalam manifest membawa pelbagai jenis barangan antaranya aksesori komputer, peralatan bakeri dan pemanggang barbeku elektrik.

“Berdasarkan hasil pemeriksaan, kita menemui 9.18 juta batang rokok putih tidak bercukai dan diimport dari luar negara dipercayai dari China dan destinasi terakhir yang diikrar dalam manifest adalah di Pelabuhan Kota Kinabalu, Sabah sebelum transit di PTP,” katanya pada sidang media di Johor Bahru semalam.

Menurut beliau rokok berkenaan bernilai RM3.67 juta, dengan keseluruhan jumlah termasuk cukai adalah sebanyak RM10 juta.

Sazali berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan membuat pengikraran tidak benar di dalam manifest dan menjadikan PTP sebagai lokasi pemunggahan, sebelum dihantar ke lokasi lain untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Kes disiasat mengikut Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019 dan Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, beliau berkata anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai mematahkan cubaan penyeludupan 69 buah tayar bernilai RM41,400, susulan penahanan dua lelaki tempatan di Taman Cemerlang Lancar di Senai pada 11 malam, Isnin lepas.

Katanya individu berusia 36 dan 41 tahun yang masing-masing memandu Toyota Alphard, pada awalnya diekori pasukan penguatkuasa daripada pintu masuk sempadan negara di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua kereta itu membawa 69 buah tayar baru pelbagai jenama dan saiz dipercayai tidak bercukai yang diimport dari luar negara,” katanya sambil menambah dua individu itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Sazali pada masa sama berkata pihaknya turut merampas pelbagai barangan lain tidak diikrarkan, termasuk 2,335 keping 'laminate sheet' yang dianggarkan bernilai RM89,000 selepas menyita sebuah lori lapan tan di tepi jalan Austin Perdana, di bandar raya ini pada 12 September lepas.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.