- Iklan -
Berita

Kementerian Pertahanan rancang tubuh jawatankuasa pelaburan bagi perolehan aset

Menurut timbalan menteri pertahanan platform peringkat tertinggi itu akan membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan ATM dari segi kelengkapan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan luaran kapal tempur pesisir yang baru 60% siap pada April tahun ini di Lumut, Perak.
Pemandangan luaran kapal tempur pesisir yang baru 60% siap pada April tahun ini di Lumut, Perak.

Kementerian Pertahanan merancang menubuhkan Jawatankuasa Pelaburan Pertahanan sebagai antara usaha mencegah dan mengelak penyelewengan dalam pemerolehan aset di bawah kementerian itu.

Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata langkah itu seperti yang disyorkan di bawah Kertas Putih Pertahanan.

“Insya Allah jawatankuasa ini akan berfungsi untuk menetapkan dasar dan membuat keputusan berkaitan perolehan aset khususnya bagi aset strategik bernilai tinggi yang memerlukan keputusan dibuat secara kolektif, selain daripada mengambil kira keperluan dan kehendak Angkatan Tentera Malaysia(ATM).

“Platform peringkat tertinggi ini akan membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan ATM dari segi kelengkapan,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai sama ada kementerian telah melakukan pengemaskinian prosedur dalam penganugerahan kontrak pembinaan kepada sesebuah syarikat lanjutan isu skandal kapal tempur pesisir (LCS). 

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli berhubung garis masa persiapan LCS 1, Ikmal Hisham berkata buat masa ini, sebanyak 94 peratus reka bentuk terperinci telah disiapkan pihak kontraktor iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

“Mengenai reka bentuk terperinci, ia sedang dirunding BNS dengan Naval Group dari Perancis, ini penting bagi memastikan apa diputuskan kelak akan dapat memenuhi keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia sebagai pengguna.

“Pihak Naval Group juga telah putuskan pasukan teknikalnya untuk lakukan audit terhadap reka bentuk terperinci tersebut bulan ini,” katanya.

Menurutnya baki enam peratus yang masih belum disiapkan BNS hanya melibatkan reka bentuk terperinci bukan kritikal iaitu zon di atas permukaan air.

Ikmal Hisham turut memaklumkan isu berkenaan LCS akan dijawab Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dengan lebih lanjut di Dewan Rakyat pada minggu depan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.