- Iklan -
Berita

Lebih 76,000 anggota agensi tindak balas sedia hadapi banjir

Sejumlah 22,622 aset meliputi darat, air, udara dan perubatan turut disiapkan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Mangsa banjir dipindahkan dari kawasan rumah mereka di Hulu Langat, Selangor ketika banjir Disember tahun lalu.
Mangsa banjir dipindahkan dari kawasan rumah mereka di Hulu Langat, Selangor ketika banjir Disember tahun lalu.

Seramai 76,336 pegawai dan anggota agensi tindak balas di semua peringkat termasuk daerah berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi monsun timur laut (MTL) yang boleh mengakibatkan bencana banjir.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mastura Mohd Yazid berkata persediaan itu antara lain melibatkan sejumlah 22,622 aset meliputi darat, air, udara dan perubatan.

Beliau berkata dari aspek pemantauan dan amaran awal, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah bersedia dengan 1,312 stesen telemetri hujan dan aras air, 526 siren amaran banjir serta 1,571 tolok lurus dan 184 pam bergerak. 

Menurutnya sebanyak RM50,000 diperuntukkan kepada setiap daerah, manakala peruntukan berjumlah RM1.08 juta disalurkan kepada lapan agensi tindak balas.

"Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) juga menyalurkan peruntukan RM30,000 bagi pembekalan dua bot fiber berenjin untuk setiap daerah berserta jaket keselamatan. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan melaksanakan perolehan bot tersebut," katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) mengenai status Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di seluruh negara bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir pada hujung tahun ini.

Mastura berkata bagi memastikan JPBD berada pada tahap optimum, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali akan mempengerusikan Task Force Persediaan Menghadapi MTL 2022/2023, dengan mesyuarat jawatankuasa itu bakal diadakan secara berkala.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.