Pada usia 33 tahun, Nabila Akashah pertama kali mampu menggaji seorang pembantu rumah dari negara seberang yang berusia 19 tahun untuk menjaga urusan rumah tangganya ketika dia dan suami keluar bekerja.
Kini, sudah 13 tahun Nabila membiasakan diri dengan kehadiran pembantu rumah.
Dalam tempoh itu, katanya, sebanyak empat kali pembantu rumahnya ditukar disebabkan beberapa faktor seperti tamat tempoh permit dan kekangan usia.
Bekerja sebagai pengurus kewangan di satu cawangan pusat jualan kenderaan jenama antarabangsa, ibu kepada tiga orang anak itu mengakui tidak lagi terbiasa dengan kerja-kerja rumah tangga selepas mendapat pembantu rumah.
Katanya, kehadiran pembantu rumah menjadikan dirinya berasa lebih "bebas" dan terurus.
"Sejak kecil saya memang berangan-angan untuk miliki pembantu rumah kerana saya rasa hidup saya akan seronok,” katanya kepada MalaysiaNow.
"Saya cuma perlu panggil bibik dan dia akan masak untuk saya, jaga mak ayah saya dan ikut saya membeli belah. Itu yang saya angan-angankan masa kecil.
"Bila dah mampu, saya dan suami buat keputusan gajikan pembantu untuk urus kerja-kerja di rumah.”
Sejak bertahun lamanya, pembantu rumah menjadi simbol status di banyak tempat di seluruh dunia.
Contohnya, masyarakat Timur Tengah mengupah pembantu rumah sebaik sahaja keluarga mencapai taraf kelas menengah bawah khususnya di kawasan bandar.
Ini adalah salah satu cara untuk mengumumkan bahawa mereka sudah mencapai kelas baru dalam hierarki masyarakat dan kehidupan.
Umumnya, ramai wanita melakukan semua tugas rumah seperti membesarkan anak-anak, mengemas dan memasak meskipun bekerja sepenuh masa.
Golongan ini seringkali menganggap mereka mempunyai masa lapang yang amat sedikit atau hampir tiada langsung.
Dengan menggaji seorang pembantu rumah, itulah cara mereka meluangkan masa untuk diri sendiri dan keluarga.
Apabila dibandingkan dengan rutin kehidupan wanita kelas elit, mereka ini pula kebiasaannya mempunyai dua hingga tiga pembantu rumah dalam satu masa.
Ini termasuklah seorang pemandu, seorang tukang kebun, dan seorang pembantu rumah.
Satu gaya hidup yang dihormati dan diidamkan oleh lapisan masyarakat.
Bagaimanapun, pengambilan pembantu rumah kini dilihat menjadi satu polemik apabila majikan tidak lagi melihat ianya sebagai satu bentuk bantuan ataupun keperluan.
Sebaliknya, simbol status dan gaya hidup.
Mentaliti majikan berbeza
Dalam pada itu, pembantu rumah Nabila yang mahu dikenali sebagai Intan (bukan nama sebenar) dari Indonesia bekerja dengannya sejak tahun 2018 dengan pendapatan sebanyak RM1700 sebulan.
Sebelum ini, dia pernah bekerja bersama dua orang majikan lain selama dua tahun dan sembilan bulan.
Katanya, kedua-dua majikan itu mempunyai personaliti yang amat berbeza termasuk cara menyantuninya sebagai pembantu rumah dan pemahaman tentang skop kerja.
Dia menyifatkan majikannya yang pertama sebagai orang yang berpendidikan tinggi dan amat menjaga kebajikannya sebagai pekerja.
Manakala, majikan kedua merupakan pasangan suami isteri bekerja sebagai guru sekadar melayannya sebagai "hamba di zaman moden".
"Majikan pertama hanya beri saya tugas di dapur dan tugasan biasa seperti menyapu dan basuh baju. Saya tidak pernah masuk bilik majikan dan anak-anak mereka.
"Baju yang tidak bersih akan diletakkan di depan pintu dan saya habis kerja selepas makan malam.
"Majikan kedua pula pernah minta saya baiki tandasnya yang rosak dan tersumbat.
"Kalau dia sendiri tak sanggup tengok dan masuk tandas itu, kenapa fikir saya sanggup? Saya tak pandai baiki dan itu bukan kerja saya," katanya kepada MalaysiaNow.
Atas sebab itu, dia segera menghubungi ejennya dan menyatakan hasrat membatalkan kontrak bersama majikan tersebut.
Ketika dihubungi, seorang ejen pembantu rumah dari Petaling Jaya berkata, mentaliti majikan amat berbeza menyebabkan ramai ejen dan pembantu rumah berdepan kesukaran untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Asyikin Hanafiah yang menguruskan agensi pembantu rumah berlesen selama 11 tahun berkata, berurusan dengan golongan kelas pertengahan atau kelompok M40 di bandar adalah keadaan yang paling sukar.
Ini kerana katanya, mereka merasakan mengambil pembantu rumah adalah satu bentuk pemilikan dan kuasa.
"Pembantu rumah itu manusia, mana ada hamba lagi zaman ini? Ada juga permintaan mengarut seperti tidak boleh memiliki telefon bimbit, tak boleh keluar rumah.
"Apabila saya dengar sahaja permintaan ini, saya terus bertanya sama ada mereka pernah menggaji pembantu rumah?
"Jika mereka kata tidak, saya akan minta mereka biarkan saya uruskan sendiri kerana mereka tidak tahu apa-apa dan permintaan mereka kebanyakannya memang tak masuk akal,” katanya.