- Iklan -
Berita

PH didakwa bentuk ‘jawatankuasa’ untuk tangguh keanggotaan Muda

Wujud pemimpin terutamanya dari PKR yang menganggap keanggotaan Muda tidak memberi nilai tambah kepada PH.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Desas-desus dari dalam Pakatan Harapan (PH) mengatakan pimpinan tertingginya sedang menghalang usaha Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menjadi sebahagian daripada gabungan itu, walaupun masa kini semakin suntuk bagi parti-parti politik untuk memuktamadkan rundingan agihan kerusi dan persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), MalaysiaNow difahamkan.

Beberapa sumber dalaman PH berkata rundingan keanggotaan Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam pakatan pembangkang itu mendapat tentangan hebat PKR.

Mereka juga berkata pengumuman Majlis Presiden PH baru-baru ini mengenai pembentukan jawatankuasa mengkaji kerjasama dengan Muda dan PSM, merupakan satu helah bagi melengahkan sebarang keputusan mengenai isu keanggotaan dua parti itu dalam PH.

"Membentuk jawatankuasa adalah cara lain untuk menangguhkan keputusan memasukkan Muda, kerana terdapat lebih banyak kebimbangan yang mendesak untuk ditangani PH terutamanya PKR berbanding usaha menunjukkan ia adalah gabungan yang mengangkat orang muda," kata seorang ahli Parlimen Amanah yang mengetahui perbincangan awal berkaitan keanggotaan Muda dalam gabungan itu.

Apabila dihubungi, pemimpin Muda dan PSM tidak memberikan ulasan secara jelas mengenai dakwaan tersebut, namun mengatakan rundingan mengenai kerjasama di bawah bendera PH sedang berjalan.

Setiausaha Agung PSM Sivarajan Arumugam berkata rundingan yang berjalan ketika ini bukanlah satu perkara baru, dan percubaan serupa turut dilakukan sebelum ini bagi mengelak calon partinya bertembung dengan parti pembangkang lain.

“Pada PRU14 juga, kita cuba menjalin kerjasama, tetapi tiada titik pertemuan dalam tuntutan dan tawaran PH ketika itu,” katanya sambil menambah pihaknya “ikhlas” mahu bekerjasama dengan PH bagi memastikan kekalahan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Pemimpin Muda, Amir Abd Hadi turut bersetuju.

“Ia adalah satu langkah yang baik dan semoga apa juga keputusan akan mengambil kira kepentingan rakyat dalam membina kesatuan pasukan bagi menghadapi PRU15,” katanya.

Bagaimanapun, masih belum jelas tanda-tanda yang menunjukkan PH yakin dan teruja dalam menjadikan PSM dan Muda sebagai rakan kongsi mereka.

Minggu lalu, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pemimpin partinya bertemu dengan wakil PH sebagai sebahagian usaha rundingan untuk menjadi sebahagian pasukan pembangkang, namun masih tidak ada sebarang keputusan yang jelas mengenainya.

“Isu yang dibangkitkan akan dibawa kepada pucuk pimpinan pada mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan diadakan dalam masa terdekat,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut.

Pada 6 September, Syed Saddiq mengumumkan bahawa partinya, yang dikatakan mewakili suara golongan muda memohon untuk menjadi sebahagian dari PH.

Difahamkan, pengumuman itu dibincangkan secara panjang lebar oleh pemimpin PH semasa permukiman yang diadakan baru-baru ini bagi membincangkan strategi "khemah besar”, satu bentuk kerjasama dengan parti-parti di luar gabungan empat parti pembangkang.

Sumber dalaman Amanah berkata beberapa pemimpin DAP berpendapat PH perlu menarik lebih ramai pengundi muda dan mereka yang berumur di bawah 21 tahun, yang menjadi pengundi kali pertama susulan kejayaan gerakan Undi 18 yang dipromosikan oleh Syed Saddiq sebelum ini.

“Bagaimanapun, ramai pemimpin tertinggi PKR tidak yakin Muda atau PSM akan menambah nilai kepada PKR atau PH.

"Jadi, jawatankuasa baru ini dilihat sebagai satu helah untuk lengahkan perbincangan, dan akhirnya menolak sebarang percubaan untuk membawa mereka masuk ke dalam gabungan itu,” kata sumber yang merupakan seorang ahli Parlimen Amanah kepada MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.