- Iklan -
Berita

Bukan golongan muda bentuk majoriti besar 6.9 juta pengundi baru pada PRU15

Kajian demografi terhadap pengundi yang didaftarkan secara automatik selepas RUU Undi 18 menunjukkan kumpulan umur paling muda membentuk kurang satu perlima daripada keseluruhan pengundi.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pengundi beratus menunggu giliran untuk membuang undi pada Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu.
Pengundi beratus menunggu giliran untuk membuang undi pada Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu.

Kajian terperinci terhadap hampir tujuh juta orang yang didaftarkan secara automatik sebagai pengundi menunjukkan hanya minoriti daripada mereka berusia di bawah 21 tahun, menimbulkan persoalan apakah gerakan Undi 18 yang matlamatnya adalah supaya generasi muda mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang hanya mengukuhkan lagi pengaruh pengundi lebih tua.

Pecahan demografi pengundi baru yang diberikan MalaysiaNow menunjukkan hanya kira-kira 16% dari 6.9 juta pengundi baru mewakili kumpulan umur 18-20 tahun, kumpulan utama yang menjadi sasaran beberapa parti pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Jumlah itu kurang daripada mereka yang berumur antara 31 hingga 50 tahun, mewakili kira-kira 23% daripada pengundi baru, menurut angka yang dilihat MalaysiaNow.

Majoriti pengundi baru adalah mereka yang berada dalam lingkungan umur 21-50 tahun. MNow-UsiaPengundiBaru-01

Lebih menarik, 60% pengundi baru adalah Melayu, diikuti Cina (25%) dan India (7.5%), manakala masyarakat Sabah dan Sarawak mewakili kira-kira 7%.

“Apa yang ditunjukkan data ini bermakna politik dan isu Melayu dalam masyarakat akan terus menjadi faktor paling penting dalam pilihan raya, dan ini akan menjadi cabaran bagi sesetengah parti yang  menjenamakan diri mereka sebagai parti mewakili golongan muda," kata sumber yang mengkaji data pengundi terkini yang dipetik MalaysiaNow.

Pendaftaran automatik pemilih baru berkuat kuasa pada akhir tahun lalu berikutan kelulusan rang undang-undang (RUU) untuk menurunkan umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun selepas ia disokong sebulat suara di Dewan Rakyat, satu langkah yang dilihat menguntungkan parti politik yang mahukan sokongan golongan muda Malaysia dengan memperjuangkan isu yang dekat dengan golongan itu.

Sebelum ini, pengundi mesti mendaftar nama mereka kepada dalam senarai pemilih, namun dengan pelaksanaan pendaftaran automatik dapat memastikan setiap warganegara berusia 18 tahun secara automatik boleh mengundi.

Pengkritik berkata langkah itu tidak semestinya dapat meningkatkan bilangan pengundi pada PRU akan datang, kerana tambahan enam juta orang tersebut dimasukkan secara tanpa sedar ke dalam daftar pemilih.

RUU yang disebut sebagai Undi 18 tersebut dipromosi secara hebat oleh bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang kemudiannya menubuhkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), yang menjenamakan dirinya sebagai parti bagi golongan muda.

Demografi pengundi baru, di mana kebanyakannya adalah Melayu dan bukannya "pengundi muda" yang menjadi sasaran Undi 18 dijangka akan merumitkan rundingan yang sedang berjalan antara Muda dan Pakatan Harapan (PH), gabungan yang sudah pun berdepan krisis keyakinan pengundi Melayu berdasarkan tinjauan terkiniMNow-KomposisiKaum-01Minggu lalu, MalaysiaNow melaporkan beberapa badan pemikir membentangkan hasil tinjauan mereka mengenai sentimen pengundi kepada kepimpinan PH, yang menunjukkan gabungan itu hanya menerima sokongan kurang daripada 15% sokongan Melayu.

Hasil tinjauan itu dikatakan mencetuskan kebimbangan dalam PKR, di mana calonnya hampir kesemuanya diletakkan di kerusi majoriti Melayu.

"Ia seolah-olah menunjukkan bahawa parti dan gabungan politik, sama seperti PRU sebelum ini, tidak mempunyai pilihan selain kembali kepada pengundi Melayu jika mereka ingin memperoleh kemenangan. Masa depan mereka tidak ada kaitan dengan usia pengundi," kata sumber sama.

Seramai 21.1 juta rakyat Malaysia, mewakili jumlah golongan lelaki dan wanita hampir sama, layak mengundi pada PRU15.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi