- Iklan -
Berita

Polis siap sedia hadapi PRU15 dalam masa terdekat

Ketua polis negara berkata pihak sudah membuat persiapan rapi terutama dari segi sumber manusia dan aset bagi memastikan kelancaran pilihan raya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berucap dalam satu acara di George Town hari ini. Gambar: Bernama
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berucap dalam satu acara di George Town hari ini. Gambar: Bernama

Polis sentiasa membuat persediaan rapi dari segi sumber manusia dan aset bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata justeru, pasukannya sentiasa dalam keadaan bersiap sedia jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

"Untuk PRU15 sekarang ini nampaknya sedang hangat diperkatakan dan seperti mana tahun terdahulu, PDRM dah buat persiapan rapi dari pelbagai sumber terutama manusia dan aset-aset bagi memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya itu.

"Insya Allah dengan persiapan kita laksanakan dan aturkan, pilihan raya akan berjalan lancar, tenteram dan aman. Kalau PRU15 dalam masa terdekat kami pihak polis sedia berkhidmat jadi kita sentiasa siap sedia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Pulau Pinang Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-75 di Pangkalan Polis Marin Batu Uban, di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Hazani Ghazali.

Pada 30 September lepas, Majlis Tertinggi (MT) Umno mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu dalam ucapannya, Acryl berkata sejak Januari hingga Ogos tahun ini, Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merekodkan nilai rampasan sebanyak RM292 juta membabitkan 5,103 kes melibatkan kesalahan penyeludupan kontraban, migran, khazanah negara, dadah dan lain-lain berbanding 4,463 kes dengan nilai rampasan RM247 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata peningkatan jumlah kes dan nilai rampasan bagi tempoh kajian itu membuktikan bahawa tindakan proaktif PPM membuahkan hasil.

"Masyarakat menganggap bahawa PPM hanya menjalankan tanggungjawab menjaga perairan negara, namun pada hakikatnya fungsi PPM adalah jauh lebih luas dan mencabar.

"PPM antara barisan hadapan yang turut sama berusaha membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan penyelewengan sumber khazanah laut dan hasil hutan yang menyebabkan ketirisan hasil negara," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.