- Iklan -
Berita

KPM lancar pemasangan lokar fasa pertama, 600 sekolah rendah dua sesi terlibat

Menurut menteri pendidikan, pemasangan lokar itu menelan kos sebanyak RM37.3 juta bagi fasa pertama sementara fasa kedua akan diteruskan pada tahun hadapan bagi murid Tahun Tiga hingga Enam.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Radzi Jidin berbual dengan murid Sekolah Kebangsan Gombak Setia ketika acara pelancaran pemasangan lokar fasa pertama hari ini.
Menteri Pendidikan Radzi Jidin berbual dengan murid Sekolah Kebangsan Gombak Setia ketika acara pelancaran pemasangan lokar fasa pertama hari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini buat julung kalinya melancarkan penyerahan lokar fasa pertama sebagai salah satu inisiatif menangani isu beg berat yang dihadapi oleh murid-murid sekolah rendah khususnya mereka di Tahun Satu hingga Tiga. 

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata pengurusan pembekalan lokar fasa pertama itu dilaksanakan pada tahun ini melibatkan hanya murid-murid yang berada dalam tahap 1 iaitu di Tahun Satu dan Dua. 

Katanya, sebanyak 626 sekolah dua sesi terlibat meliputi 249,646 bilangan lokar dan murid yang menerima manfaat daripada pemasangan tersebut. 

"Inisiatif ini telah umumkan pada Mac 2022 dan pada hari ini, 5 Oktober kita lancarkan antara inisiatif yang paling besar dan tidak pernah dilancarkan oleh kementerian untuk bekalkan lokar ke sekolah-sekolah dua sesi,” katanya semasa sesi pelancaran dan sidang media di SK Gombak Setia, Kuala Lumpur. 

Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali. 

Menurut Radzi, pemasangan lokar itu menelan kos sebanyak RM37.3 juta bagi fasa pertama dan fasa kedua akan diteruskan pada tahun hadapan bagi murid-murid Tahun Tiga hingga Enam. 

"Kita akan selesaikan semua pemasangan dalam bulan Oktober ini. Ada lima sekolah dah pasang sepenuhnya dan berbaki 33 sekolah akan selesai pemasangan sebelum akhir bulan ini."

Selain penyediaan lokar, Radzi memberitahu KPM turut menggariskan enam ketetapan lain bagi menangani masalah yang sama. 

Enam ketetapan tersebut adalah penyusunan semula jadual waktu, bilangan buku latihan, penggunaan buku aktiviti dan buku kerja murid, pengenalan buku teks digital, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketika ditanya siapakah yang akan bertanggungjawab memastikan murid-murid tidak lagi terbeban dengan muatan beg berat selepas pemasangan lokar, Radzi menegaskan ianya memerlukan kerjasama pelbagai pihak. 

Pertama, beliau menegaskan sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memantau kandungan beg sekolah anak-anak selepas penyediaan lokar. 

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil pegawai-pegawai seperti jemaah nazir di pejabat pendidikan negeri untuk memantau penggunaan lokar di setiap sekolah. 

Ini bagi memastikan semua pihak termasuk guru-guru, ibu bapa dan murid dapat menggunakan inisiatif tersebut secara optimum.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.