- Iklan -
Berita

Masih relevankah institusi pengajian tinggi negara?

Pandemik yang melanda dunia mengubah landskap ekonomi dan pasaran kerja selain boleh mengancam kewujudan universiti jika ia tidak dapat menyesuaikan diri dengan realiti baru.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Pelajar Universiti Putra Malaysia menelaah pelajaran di perpustakaan universiti.
Pelajar Universiti Putra Malaysia menelaah pelajaran di perpustakaan universiti.

Mohd Fitri mengimbau kembali kenangannya ketika mengambil keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah pada Jun. 

Pemuda yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu berkata dia dan keluarga bertolak dari rumah seawal jam 4.00 pagi untuk ke sebuah sekolah asrama penuh di bahagian utara semenanjung.

Kata Fitri, seluruh ahli keluarganya turut teruja memandangkan dia merupakan anak sulung daripada empat adik beradik serta individu pertama yang menduduki SPM dalam keluarga itu.

Tiba di sekolah, Fitri mendapati namanya tersenarai dalam kalangan pelajar yang mendapat 9A daripada 10 mata pelajaran yang diambil.

“Ibu dan ayah menelefon nenek di kampung untuk kongsi berita itu. 

“Saya masih ingat basah air mata ibu di pipi saya kerana menangis kegembiraan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tidak seperti rakan-rakannya, Fitri enggan menyambung pengajian ke universiti meskipun keputusan cemerlang yang diraihnya dalam peperiksaan awam tersebut.

Katanya, dia sudah lama merancang untuk menjadi arkitek di mana-mana syarikat pemaju perumahan yang terkemuka di Malaysia kerana amat meminati subjek matematik dan fizik. 

Bagaimanapun, impiannya kini sudah berubah.

Fitri berkata, dia sudah mengikuti kelas bahasa asing sejak April lalu secara dalam talian untuk mempelajari bahasa Korea dan Jepun dengan tenaga pengajar yang berada di negara masing-masing.

“Tujuan saya cuma satu, ingin menjadikan bidang bahasa asing sebagai profesion utama. Saya tinggalkan permohonan kemasukan ke universiti dan fokus mengikuti kelas berbayar dengan panduan modul yang dibekalkan oleh guru bahasa.

“Pada masa sama, saya juga mengambil upah kerja sambilan di kafe pada hujung minggu dengan pendapatan pasif sebanyak RM1700 sebulan,” katanya dan menambah dia tidak tolak kemungkinan akan menyambung pengajian ke universiti beberapa tahun akan datang. 

Menurut Fitri, dia juga mengenali beberapa rakannya yang tidak menyambung pengajian disebabkan kekangan kewangan dan berubah fikiran di saat akhir untuk menceburi bidang pekerjaan.

“Ada dua orang rakan sekolah baru sahaja hadir ujian dan temuduga kemasukan polis di balai polis berdekatan rumah mereka pada bulan lalu. 

“Keputusan SPM mereka juga baik. Tetapi mereka mahu terus bekerja dan dapatkan duit.”

Kisah Fitri dan rakan-rakannya menjadi semakin biasa dalam urusan harian anak muda yang bersandarkan fakta terkini dilihat tidak lagi berminat untuk melanjutkan pengajian ke universiti selepas tamat zaman persekolahan.

Pada Julai lalu, kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1% lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran. 

Difahamkan, data itu dikumpul dari tahun 2019 tetapi trend tersebut dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021. 

Hampir di seluruh dunia, keadaan universiti masih tidak menentu terutamanya selepas krisis kesihatan global akibat Covid-19.

Meskipun sesi akademik dijangka akan dibuka sepenuhnya pada awal Oktober ini, para pemimpin dan pentadbir universiti harus menerima hakikat bahawa keadaan tidak akan kembali normal seperti sebelumnya.

Banyak syarikat-syarikat gergasi mula membangun dan mengukuhkan perniagaan masing-masing. 

Ditambah pula krisis dan pergolakan yang semakin meningkat di beberapa bahagian dalam dunia disebabkan cabaran politik, ekonomi dan inflasi menyebabkan lebih banyak pengangguran berlaku.

Perkembangan dunia digital sejak pandemik menjadikan permintaan dan pasaran kerja berubah. 

Pada masa sama, pasaran graduan dengan pengalaman digital yang berkualiti berkemungkinan tidak boleh dipenuhi.

Perkembangan ini akan mengancam kewujudan universiti yang dijangka tidak dapat menyesuaikan diri dengan realiti baru dalam industri dan pasaran pekerjaan.

Universiti masih relevan

Bagaimanapun, seorang pemikir dan bekas ahli akademik Chandra Muzaffar berkata kewujudan universiti masih relevan meskipun trend kemasukan pelajar dilihat semakin tidak menentu di universiti-universiti awam.

Katanya, situasi itu bukan sahaja berlaku di Malaysia bahkan sudah lama dikesan di mana-mana negara di seluruh dunia.

“Mungkin mereka berasa bahawa ijazah bukan lagi pasport untuk beri kehidupan yang mewah atau kehidupan yang diidamkan mereka,” katanya dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow di Petaling Jaya, Selangor.

Chandra pernah berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM) sebagai pensyarah dan penganalisis politik.

Ketika berkhidmat di UM, beliau aktif menulis dan menyampaikan kuliah di bawah Pusat Dialog Peradaban.

Minggu lalu, MalaysiaNow melaporkan lebih ramai pelajar universiti dijangka meninggalkan pengajian masing-masing tanpa selesai mendapatkan sijil masing-masing akibat kekangan kewangan. 

Sehingga kini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mendapati lebih 30,000 atau 2.6% daripada lebih 1.1 juta mahasiswa di universiti awam gagal menamatkan pengajian ketika pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021.

Antara sebab yang mendorong para pelajar gagal menamatkan pengajian adalah masalah kesihatan, isu peribadi, gagal peperiksaan dan gagal mendaftar.

Tambah Chandra lagi, fikiran anak muda kini sudah berupaya membayangkan masa depan sendiri. 

Sebagai contoh, katanya, sekiranya mereka mencari pendapatan dengan melakukan perniagaan sendiri, dalam tempoh 10 tahun akan datang berkemungkinan besar taraf kehidupan mereka akan jadi lebih baik berbanding memilih untuk masuk ke universiti.

Atas sebab itu, beliau menengaskan bahawa universiti harus melihat kembali kepada visi asal penubuhan dan kewujudan mereka sebagai institusi pengajian tinggi negara.

Menurut Chandra, visi universiti bukan sahaja untuk menyediakan pekerjaan tetapi menjadi tempat yang mempersiapkan seseorang menjadi “manusia”.

“Manusia yang ada belas kasihan, berpengetahuan dan mereka yang mahukan kehidupan berteraskan keadilan sejagat.

“Dan bagaimana kita nak yakinkan masyarakat? (kerana) konsep universiti yang tulen itu sudah pun menjadi persoalan,” katanya.