- Iklan -
Berita

Tiada pilihan raya di 3 negeri PH tahun ini

Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan membubarkan DUN pada tahun depan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki memasang bendera logo Pakatan Harapan di Melaka menjelang pilihan raya negeri itu November tahun lalu.
Seorang lelaki memasang bendera logo Pakatan Harapan di Melaka menjelang pilihan raya negeri itu November tahun lalu.

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) berkata Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tahun depan berikutan kebimbangan musim banjir seperti yang diramalkan Jabatan Meterologi Malaysia baru-baru ini.

“Majlis Presiden turut mengambil maklum bahawa kerajaan-kerajaan negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah mempertingkat tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi musim banjir di negeri masing-masing sesuai dengan prinsip mengutamakan nasib rakyat berkait nyawa dan harta benda,” kata kenyataan Majlis Presiden PH hari ini.

Keputusan terbaru tersebut diputuskan gabungan pembangkang itu ketika bantahan semakin kuat dari PH dan Perikatan Nasional (PN) terhadap tekanan yang diberikan pemimpin Umno terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya Parlimen dibubarkan tahun ini.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mesti diadakan selepas penggal pentadbiran dijadualkan tamat pada pertengahan tahun depan.

Namun pilihan raya yang dibimbangi akan diadakan tahun ini dijangka bakal menghalang usaha menguruskan banjir berikutan musim tengkujuh yang berlaku setiap tahun.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memberikan amaran ribut petir dan kemungkinan banjir sejak September lalu.

Cuaca buruk itu dijangka berlaku awal Oktober dan berterusan sehingga November ketika fasa peralihan monsun menandakan berakhirnya monsun barat daya.

“Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat. 

"Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.