- Iklan -
Berita

Bajet 2023 tumpu usaha perkukuh momentum pemulihan, daya tahan ekonomi

Bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Bersama', bajet tahun depan akan memberi tumpuan kepada empat teras merangkumi rakyat, perniagaan, ekonomi dan kerajaan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara kawasan perumahan dan sektor komersial Kuala Lumpur dari Ampang, Selangor.
Pemandangan udara kawasan perumahan dan sektor komersial Kuala Lumpur dari Ampang, Selangor.

Bajet 2023 yang bakal dibentangkan kerajaan akan menumpukan kepada usaha mengukuhkan momentum pemulihan dan daya tahan ekonomi serta melaksanakan pembaharuan secara menyeluruh.

Bertemakan "Keluarga Malaysia Makmur Bersama", Bajet 2023 akan memberi fokus kepada empat teras merangkumi rakyat, perniagaan, ekonomi dan kerajaan yang mana ia bakal dirangka menerusi pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Menerusi empat teras ini, inisiatif yang bakal dilaksanakan akan menjurus kepada usaha menangani kos sara hidup, meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan, meningkatkan kemudahan perniagaan dan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memulihkan industri pelancongan serta memacu pendigitalan dan automasi.

Selain itu, Kementerian Kewangan juga akan menumpukan kepada usaha menggalakkan pertumbuhan hijau dan pembangunan mampan, menangani isu sekuriti makanan, menambah baik perkhidmatan awam serta meningkatkan pengurusan risiko bencana dan memperkukuh daya tahan kesihatan awam.

Bagi memastikan pembaharuan ekonomi yang ditekankan dalam pembentangan dapat dimanfaatkan semua, Kementerian Kewangan menerima sebanyak 242 memorandum daripada pihak industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi  masyarakat sivil (CSO) serta melakukan sebanyak 190 sesi libat urus bersama kerajaan negeri, kementerian dan sektor berkepentingan.

Kerajaan juga membuka ruangan cadangan dan menerbitkan enam kertas konsultasi awam di laman sesawang Kementerian Kewangan dan menerima sebanyak 5,419 cadangan berhubung Bajet 2023.

"Ekonomi negara menunjukkan pemulihan pasca Covid yang kukuh pada 2022," demikian menurut kenyataan pra Bajet 2023 Kementerian Kewangan. 

“Tinjauan untuk 2023 semakin tidak menentu berikutan perkembangan global seperti konflik di Ukraine, harga komoditi tinggi di peringkat global, gangguan rantaian bekalan, inflasi tinggi yang mendorong pengetatan dasar monetari dan melembapkan  prospek pertumbuhan global.

"Oleh itu, Bajet 2023 perlu memperkukuh pemulihan Malaysia sambil melindungi rakyat dan perniagaan daripada cabaran semasa dan masa depan."

Dari aspek prestasi ekonomi negara, keluaran dalam negara kasar (KDNK) kini dilihat berada di landasan untuk mencapai atau menjangkau unjuran 5.3% - 6.3% bagi tahun 2022.

Malaysia pada suku kedua 2022 mencatatkan pertumbuhan 8.9%, meningkat berbanding 5.0% pada suku pertama 2022.

Kadar pengangguran pula menyaksikan penurunan kepada 3.9% pada suku kedua (Julai 2022) berbanding 4.1%. 

Ini menunjukkan pasaran buruh kini kembali menggunakan tenaga penuh.

Sementara itu, Malaysia turut merekodkan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM41.7 bilion, meningkat lebih sekali ganda berbanding RM20.2 bilion yang direkodkan tempoh sama pada tahun lalu.

Namun begitu, persekitaran ekonomi global dijangka akan menjadi semakin mencabar pada tahun depan apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak turun unjuran ekonomi dunia bagi 2022 dan 2023.

Pada Julai, IMF menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi dunia kepada 3.2% bagi 2022 berbanding 4.4% pada Januari lalu.

Bagi 2023 pula, pertumbuhan ekonomi dunia disemak turun kepada 2.9% berbanding 3.8%.

Dari segi kadar inflasi, usaha kerajaan terutama menerusi pemberian subsidi sebanyak berjumlah RM77.7 bilion berjaya meredakan tekanan inflasi kepada 3.4% setakat Jun 2022 yang mana angka itu dijangka mencapai 11.7% sekiranya tiada subsidi dan kawalan harga.

Prestasi ini menyaksikan kadar inflasi Malaysia antara yang terbaik jika dibandingkan dengan negara-negara jiran seperti Indonesia yang mencatatkan kadar inflasi 6.7%, Filipina (7.7%), Singapura (9.1%) dan Thailand (9.4%).

Menyentuh mengenai pencapaian Bajet 2022 setakat 31 Ogos lalu, kerajaan sudah mengagihkan sebanyak RM7.15 bilion menerusi inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia yang memberi manfaat kepada lebih 8.6 juta penerima.

Selain itu, program e-Pemula RM150 bernilai RM266.03 juta juga telah diagihkan kepada hampir 1.8 juta penerima manakala inisiatif JaminKerja menerusi MySTEP bernilai RM101.43 juta memanfaatkan seramai 11,703 pencari kerja.