- Iklan -
Berita

MetMalaysia tidak galakkan PRU15 pada musim tengkujuh

Meskipun kuantiti hujan dijangka tidak ekstrem, banjir akan kerap berlaku semasa monsun timur laut.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi

Keputusan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada musim monsun timur laut seperti yang digesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi  tidak digalakkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Timbalan Ketua Pengarah MetMalaysia Hisham Mohd Anip berkata, secara amnya banjir akan kerap berlaku di seluruh negara pada tempoh monsun.

"Dalam tempoh peralihan pun banyak tempat sudah banjir. Ada (kejadian) banjir di Perak dan Johor. 

“Jadi dari segi kesesuaian, ia tidak membantu untuk mengadakan pilihan raya," katanya semasa menjawab pertanyaan media ketika Forum Iklim Kebangsaan.

Monsun timur laut dijangka melanda pada November hingga Mac tahun depan. 

Ketika ini, negara berada dalam fasa peralihan monsun selepas mengalami monsun barat daya. 

Katanya, negeri pantai barat juga semakin terkesan dengan kehadiran monsun timur laut berbanding tahun-tahun sebelum ini. 

Bagaimanapun, katanya berdasarkan model cuaca sedia ada, monsun timur laut yang bakal melanda tidak akan membawa cuaca yang ekstrem dengan paras hujan normal atau kurang dari normal. 

"Tidak ada satu model beri unjuran akan adanya jumlah hujan yang ekstrem dari segi kuantiti hujan bulanan. 

“Kita tak menjangka fenomena La Nina yang sedang berlaku akan mengakibatkan kita menerima hujan yang lebih banyak," tambahnya.

Menurut Hisham, MetMalaysia menjangkana kuantiti hujan yang melebihi kelaziman dijangka melanda utara dan timur Sabah pada Disember dan Januari. 

Di Pantai Timur Semenanjung sering menjadi keutamaan usaha pengurusan bencana ketika musim monsun, katanya tiada perubahan jumlah hujan yang signifikan akan melanda. 

Beberapa kawasan sudah mengalami banjir seperti di Pahang dan Johor membabitkan pemindahan ratusan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, berdasarkan corak hujan, negeri-negeri di Semenanjung Malaysia menerima hujan lebih awal daripada kedatangan monsun timur laut.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan PRU15 akan berlangsung dalam keadaan banjir kilat dan ribut petir sekiranya diadakan selepas pertengahan November. 

Orang ramai melahirkan kegusaran berhubung desakan mengadakan PRU15 pada hujung tahun ini, selepas cakap-cakap mengenai pembubaran parlimen semakin hangat. 

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pagi tadi melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir sebelum dijangka menerima mengadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob petang ini. 

Desakan mengadakan PRU15 pada tahun ini diketuai oleh Zahid dan kepimpinan tertinggi Umno. 

Penggal ke-14 sepatutnya tamat pada pertengahan tahun depan. 

Sebagai bantahan, kerajaan-kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga tahun depan.