- Iklan -
Berita

Tuntutan kumpulan Sulu bersifat peribadi, bukan soal kedaulatan negara, kata menteri

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia adalah tuntutan kepada kerajaan Malaysia untuk apa yang didakwa sebagai sewaan jajahan Sabah dahulu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Gambar: Bernama

Tuntutan kumpulan Sulu adalah tuntutan peribadi dan tidak ada kena-mengena soal kedaulatan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata ia adalah tuntutan kepada kerajaan Malaysia sebagai menuntut apa yang dikatakan sewaan jajahan Sabah dahulu.

Bagaimanapun, menurutnya kerajaan sentiasa memerhati reaksi ahli politik dan kerajaan Filipina dalam soal ini sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Setakat ini, Wisma Putra dapat maklum ada perkara-perkara dibangkit senator dan ahli politik di sana, ketika itu nanti apabila kerajaan Filipina memberi reaksi kepada kehendak ahli politik ini, barulah Wisma Putra akan mengambil tindakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang ingin tahu mengenai isu tuntutan kumpulan Sulu yang menurutnya kini beralih menjadi isu kedaulatan negara selepas beberapa senator Filipina dilapor mahu memperbaharui tuntutan ke atas Sabah sebagai sebahagian Filipina.

Wan Junaidi berkata isu tuntutan terhadap Sabah sememangnya sentiasa dimainkan ahli politik Filipina yang cuba "menangguk di air yang keruh" susulan tuntutan kumpulan Sulu terhadap Sabah.

“Ada satu ketika dahulu di zaman Ramos (bekas presiden Filipina Fidel Ramos) hendak digugurkan (isu tuntutan Sabah) pun tak gugur, dikekalkan di situ sebagai isu politik mereka, kalau tak ada isu lain, isu inilah yang akan dibangkitkan.

“Tetapi setakat ini, hanyalah suara-suara yang orang kata, tak betul disuara ahli politik di sana, menumpang di air keruh,” katanya.

Mengenai soalan tambahan Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang mahu tahu adakah kerajaan bersikap proaktif dalam isu tuntutan kumpulan Sulu, Wan Junaidi memberi komitmen bahawa kerajaan melalui jawatankuasa yang ditubuhkan telah memainkan peranan proaktif.

“Saya beri jaminan setiap perkara yang berlaku kita akan lihat. Tetapi dalam keadaan sekarang, kita tidak boleh memberi penjelasan setiap strategi kita kepada umum, kerana tindakan kita berlandaskan jangan diketahui pihak lawan,” katanya.

Pada 12 Julai lepas, Mahkamah Rayuan Paris telah membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award bertarikh 28 Februari 2022 yang dikeluarkan penimbang tara Gonzalo Stampa berikutan tuntutan kumpulan Sulu melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.