- Iklan -
Berita

Bajet 2023: Bekerja sendiri termasuk penghantar makanan wajib carum Perkeso

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, pada 2020 hanya segelintir pekerja sektor gig seperti penghantar makanan mampu melindungi diri sendiri ketika bekerja.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja sektor gig atau e-hailing kini diwajibkan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri bagi perlindungan diri.
Pekerja sektor gig atau e-hailing kini diwajibkan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri bagi perlindungan diri.

Kerajaan melalui pembentangan Bajet 2023 mewajibkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada individu yang bekerja sendiri terutamanya dalam sektor berisiko tinggi seperti penghantar barang dan makanan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan penggiat sektor ekonomi itu terjamin.
 
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, pada tahun 2020 hanya segelintir pekerja gig seperti penghantar makanan mampu melindungi diri sendiri ketika bekerja. 

Katanya, selepas kerajaan menyumbang kepada caruman melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso lebih ramai pekerja sendiri berjaya mendapatkan perlindungan.
 
“Tahun hadapan kerajaan akan wajibkan caruman SKSPS kepada semua sektor kerja sendiri terutamanya sektor berisiko tinggi secara berperingkat.
 
“Bagi kurangkan bebanan pekerja sendiri, caruman Perkeso akan ditanggung 80% oleh kerajaan. Ini bermakna orang kerja sendiri seperti penghantar makan, petani, nelayan dan penjaja hanya bayar 20% sahaja daripada jumlah caruman tersebut,” katanya ketika menyampaikan teks Bajet 2023 di Parlimen, hari ini.
 
Tambahnya lagi, inisiatif itu akan melibatkan kos sebanyak RM150 juta dan bermula bagi mereka yang bekerja dalam sektor pengangkutan dan penghantar makanan atau barangan.

Bajet 2023 sebanyak RM372.3 bilion yang dibentangkan hari ini memperuntukkan belanjawan lebih kecil berbanding 2022 sebanyak RM385.3 bilion.

Dalam belanjawan kali ini, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian kesihatan merupakan penerima peruntukan terbesar di mana jumlah keseluruhan peruntukan yang diterima ketiga-tiga kementerian itu meliputi 43.3% daripada keseluruhan bajet.

Ia merupakan belanjawan kedua dibentangkan dibawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob dan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.