Dibesarkan dalam keluarga dengan ibu bapa berpisah, Ahmad Zahrin Anas tidak pernah menyangka akan menemui kebahagiaan dan keselesaan yang diimpikannya selepas menghuni sebuah rumah kebajikan untuk orang-orang tua di Sungai Petani, Kedah.
Mesra disapa dengan panggilan Anas, pemuda berusia 31 tahun itu pernah diusir dari rumah ketika menuntut di sekolah menengah disebabkan masalah keluarga.
Ketika berada di tingkatan lima, Anas mengalami kemalangan jalan raya yang menyebabkan dia kehilangan kaki kirinya.
Ibu bapanya berpisah ketika usianya masih terlalu muda.
Selepas diusir dari rumah bapanya, Anas kemudiannya dibesarkan oleh neneknya.
Pada tahun 2017, neneknya meninggal dunia.
Sejak itu, dia cuba untuk menguruskan kehidupannya sendiri.
Hilang tempat bergantung dan berkongsi kasih sayang, Anas memohon pertolongan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan tempat berteduh.
Pada hari yang sama, dia menerima panggilan memberitahu keberadaan sebuah rumah kebajikan sudi menerimanya.
“Saya suka duduk di sini. Boleh belajar mengaji dengan ustaz. Boleh tolong pakcik-pakcik di sini.
“Banyak benda saya boleh buat dan lakukan di sini,” katanya kepada MalaysiaNow ketika lawatan ke Rumah Qaseh Ayah, baru-baru ini.
Menurut penyelia di situ, meskipun keadaan Anas yang cacat sebelah kaki dia tetap mahu memberikan sumbangan dan berbakti kepada semua penghuni di situ.
Hampir setiap hari, Anas akan menaiki motosikal tiga rodanya ke bandar Sungai Petani untuk membantu kerja-kerja di sebuah butik pakaian yang turut beroperasi bersama pengurusan rumah jagaan tersebut.
Anas akan pergi bersendirian dan menempuh perjalanan hampir 40 minit kerana pergerakannya yang disifatkan sedikit perlahan berbanding menunggang motosikal dua roda.
Ada ketika, penyelia dan warden akan meminta bantuannya membeli barang-barang dapur dan keperluan harian di sebuah kedai runcit berdekatan.
Lebih mengujakan, Anas memberitahu, dia amat gembira dapat membuat tugasan-tugasan itu dan menyedari dirinya juga mampu berbakti kepada masyarakat.
Mahu lakukan lebih baik
Ketika lawatan MalaysiaNow ke rumah jagaan tersebut, hujan turun dengan lebat.
Anas tetap meneruskan tugasannya ke kedai runcit meskipun dinasihatkan supaya menunggu sehingga hujan reda.
Dia menegaskan, kedai akan tutup awal pada hari Jumaat dan dia akan sibuk di butik pada waktu petang.
Apabila dipuji oleh para penghuni rumah jagaan itu yang lebih tua daripadanya, Anas hanya tersenyum malu.
Dia kemudiannya berkata, terdapat dua hasrat yang ingin diminta sekiranya ada sesiapa yang sudi membantu.
“Saya perlukan kerusi roda baru dan mahu buat pembedahan buang usus,” katanya merujuk kepada pembedahan bariatrik iaitu bentuk surgeri pintasan usus untuk membantu seseorang menurunkan berat badan.
Setakat ini, Anas mempunyai berat badan anggaran 140kg dan mengatakan dirinya tidak pernah berjaya menurunkan berat badan meskipun mencuba pelbagai teknik diet untuk kurus.
Menurut Anas, sekiranya dia menjalani pembedahan tersebut, dia boleh menggunakan kaki palsu dan membuat lebih banyak tugasan-tugasan yang diperlukan oleh rumah jagaan.
“Saya ada satu sahaja kerusi roda untuk kegunaan harian. Ini jugalah yang saya gunakan untuk mandi dan bergerak.
“Ia juga dah berbunyi. Jika saya ada satu lagi kerusi roda, mungkin saya boleh gunakannya bergilir-gilir.”
Ketika ditanya, apakah perubahan besar yang dialaminya selepas menghuni pusat jagaan tersebut, Anas mengimbau kembali hari pertama kedatangannya ke rumah itu.
Kehadirannya disapa oleh seorang penghuni, Akmat Milaham seorang warga emas berusi 66 tahun dari Sabah.
Kata Anas, fikirannya masih buntu dan tidak pasti dengan takdir yang akan menemuinya di situ.
“Saya tak boleh bayang apa-apa masa itu. Sebab JKM beritahu ini rumah untuk orang tua. Saya pun tak kenal sesiapa.
“Bila dah kenal dan tinggal lebih lama di sini, saya berasa lebih santai dengan pakcik-pakcik dan suka mengusik mereka.”
Menambah keceriaan
Sementara itu, Akmat meluahkan rasa gembira dengan kehadiran pemuda itu dengan mengatakan Anas banyak membantu mereka mengambil bekalan ubat-ubatan di hospital dan klinik berdekatan.
“Macam-macam lagi yang dibantu. Pak Cik selalu tanya Anas pasal telefon, macam mana nak guna WhatsApp, nak telefon adik beradik di Sabah.
“Dia akan tunjukkan kepada pakcik,” katanya yang sudah setahun tinggal di pusat jagaan tersebut.
Seperti anak-anak muda yang lain, Anas menyatakan keazamannya untuk mendapatkan pekerjaan dan mempunyai gaji sendiri.
Bagaimanapun, dia tidak menolak untuk terus tinggal dan berbakti di situ.
Katanya, disebabkan statusnya sebagai orang kurang upaya (OKU) menyebabkannya sukar mendapat peluang pekerjaan dan memulakan hidup yang lebih selesa seperti menyewa di tempat sendiri dan menyimpan wang.
“Sebab itu saya nak buat pembendahan tersebut. Kalau kurus saya boleh pasang kaki palsu.
“Saya juga boleh dapat kaki palsu dan bantu pertubuhan ini dengan lebih baik.”
Dia juga memberitahu, sebelum ini pernah ke hospital untuk mendapatkan rawatan mengenai masalah kesihatannya yang dilihat membimbangkan.
Ini kerana, Anas menyedari saiz kakinya semakin besar dan mengeras.
“Orang-orang yang tengok kata sakit kaki gajah. Tetapi doktor masih tak sahkah apa-apa. Lagipun rawatan hari itu cuma ambil sampel air kencing dan darah sahaja.
“Kemudian hospital penuh akibat Covid-19 dan sekatan perjalanan sebab PKP. Saya pun tak pergi ke hospital selepas itu.
“Saya akan cuba dapatkan rawatan di hospital dalam masa terdekat dan diharapkan doktor dapat membantu masalah kesihatan saya,” katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.