- Iklan -
Berita

Agong, Raja Permaisuri adakan lawatan khas ke London

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah akan melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Britain Raja Charles III di Istana Buckingham pada 12 Oktober.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melambai tangan sebelum berangkat pulang dari acara di Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melambai tangan sebelum berangkat pulang dari acara di Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan khas ke London bermula esok hingga 16 Oktober ini. 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata dalam rangka lawatan khas itu, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Britain Raja Charles III di Istana Buckingham pada 12 Oktober.

Beliau berkata keberangkatan Seri Paduka berdua melakukan kunjungan hormat itu mencerminkan keakraban Sultan Abdullah dengan Raja Charles.

"Seri Paduka menjalin persahabatan dengan Raja Charles sejak lebih empat dekad dan pernah bersukan polo berkuda bersama-sama ketika zaman remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.

"Kunjungan hormat ini juga mencerminkan hubungan dua hala yang rapat di antara Malaysia dan United Kingdom sejak kemerdekaan Malaysia 65 tahun lepas," menurut Fadil dalam kenyataan hari ini.

Pada hari sama (12 Okt), Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut dijadualkan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Stesen Janakuasa Battersea, projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London.

Stesen janakuasa berkeluasan 16.99 hektar itu adalah projek hartanah membabitkan usaha sama Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Berhad sejak 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM51.53 bilion.

Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri dijadualkan mengakhiri lawatan khas itu dan berangkat pulang ke tanah air pada 16 Oktober.

Dari segi hubungan dua hala, United Kingdom merupakan rakan dagang ke-18 terbesar Malaysia pada 2021 dengan jumlah dagangan direkodkan antara kedua-dua negara sebanyak RM17.17 bilion, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 2.9% berbanding 2020.

Nilai eksport Malaysia ke United Kingdom pada tahun lepas juga telah direkodkan sebanyak RM9.78 bilion manakala nilai import dari United Kingdom ialah RM7.39 bilion.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.