- Iklan -
Berita

Pesara guru tadikan besarkan anak angkat Muslim dikurnia anugerah Maulidur Rasul

Chee Hoi Lan mendapat gelaran Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberikan anugerah Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia kepada Chee Hoi Lan. Gambar: Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberikan anugerah Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia kepada Chee Hoi Lan. Gambar: Bernama

Jasa Chee Hoi Lan membesarkan anak angkat beragama Islam membolehkan pesara guru tadika itu dikurniakan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah/2022 Masihi sekali gus mendapat gelaran Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia.

Chee, 83, yang membesarkan Rohana Abdullah, 20, sejak usia dua bulan hingga sekarang mendapat perhatian masyarakat dan kerajaan kerana keikhlasannya menjaga serta mendidik gadis itu walaupun mereka berlainan agama.

Anugerah itu dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah/2022 Masihi di Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Chee yang hadir berkerusi roda ketika ditemui pemberita selepas majlis itu menjawab ringkas: “Saya sangat gembira (menerima anugerah itu).”

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul tahun ini.

Zainal, 59, berkata pengurniaan anugerah itu memberikan semangat untuk beliau menjalankan tugas seharian yang mencabar.

“Saya memang suka mengamalkan korporat dakwah dan dengan adanya anugerah ini saya serta rakan-rakan korporat lain akan menggunakan platform sedia ada untuk berbuat baik dalam syarikat dan komuniti sekeliling,” kata anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Lima lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul adalah Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya Azizan Baharudin, Penerbit Eksekutif (Pengisian Kandungan Islam) TV3 dan TV9 Ahmad Noor Sulaiman dan Pengerusi Yayasan ZIKAY Mohd Khay Ibrahim.

Penerima lain adalah aktivis kemanusiaan dan penceramah motivasi Shazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina serta kaunselor berdaftar Hushim Salleh.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi