- Iklan -
Berita

Tak mahu ketinggalan, perkhidmatan sewa iPhone bakal jadi trend?

Perkhidmatan penyewaan iPhone dijangka dapat menangani ketakutan pengguna daripada terlepas trend atau Fomo, dan membolehkan mereka kekal dalam fesyen pada harga yang lebih berpatutan.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Telefon pintar dilihar sebagai keperluan ketika ini, dan sebahagian orang ada yang merasakan mereka harus mengemas kini perkembangan teknologi setiap hari.
Telefon pintar dilihar sebagai keperluan ketika ini, dan sebahagian orang ada yang merasakan mereka harus mengemas kini perkembangan teknologi setiap hari.

Perkembangan teknologi terkini yang semakin canggih membolehkan syarikat pengeluar telefon pintar menerapkan pelbagai inovasi dalam menghasilkan produk terbaru untuk ditawarkan di pasaran.

Inovasi ini membolehkan telefon pintar dihasilkan dengan memiliki elemen unik seperti skrin sentuh yang boleh dilipat, kadar penyegaran skrin sehingga 120Hz atau kebolehan 100x zum.

Sudah tentu, ciri-ciri premium ini diperkenalkan seiring dengan harganya yang cukup tinggi, mungkin lebih daripada kemampuan golongan pendapatan sederhana apatah lagi pendapatan rendah.

Bulan lalu, Apple melancarkan beberapa produk termasuk iPhone 14 yang mana ia dijual pada harga bermula RM5,299 hingga RM8,299 di Malaysia.

Apa yang menarik perhatian ialah laporan berhubung perancangan Apple yang dijangka akan memperkenalkan perkhidmatan sewa iPhone dan beberapa produk mereka.

Meskipun tiada pengesahan rasmi daripada Apple berhubung perkhidmatan sewaan iPhone itu, ia bagaimanapun menarik pelbagai reaksi dalam media sosial.

Ada yang menganggap perkhidmatan langganan itu sebagai mengarut, tetapi ada juga yang melihat ia sebagai pendekatan terbaik bagi syarikat itu untuk membolehkan lebih ramai "memiliki" telefon pintar jenama premium itu tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan tinggi.

Pakar Psikologi dari Universiti Malaya (UM), Haslina Muhamad berkata, perkhidmatan sewa atau melanggan iPhone boleh menjadi satu trend baru disebabkan dorongan Fomo (fear of missing out) - situasi yang menyebabkan individu berasa bimbang ketinggalan sesuatu perkara atau trend yang mana keadaan ini lebih mempengaruhi golongan muda.

Katanya, impak Fomo pada masyarakat hari ini boleh dianggap sangat berkesan terutama disebabkan kewujudan sosial media, menyebabkan ramai merasa gelisah apabila mereka merasakan tidak mengikuti perkembangan terkini.

Katanya, situasi ini termasuk dengan memiliki gajet atau sesuatu produk yang menjadi perbualan masyarakat.

“Sindrom Fomo jika tidak ditangani dengan baik boleh menjejaskan keyakinan diri individu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Fomo biasanya terjadi apabila individu sering membuat perbandingan dalam media sosial dan ini boleh mencetuskan kegelisahan apabila dia sedar terdapat kekurangan.”

Dari aspek pemilikan peranti seperti Apple, Haslina berkata, jenama premium itu dilihat akan menaikkan status sosial individu yang memilikinya, dan ini menjadi pendorong utama mengapa golongan yang terkesan dengan Fomo terkejar-kejar untuk mendapatkan peranti dikeluarkan oleh syarikat itu.

“Walaupun harganya mahal, golongan ini tidak anggap ia sebagai pembaziran, tetapi lebih kepada keperluan,” katanya.

“Malah, sekarang pun sudah ada perkhidmatan beli dulu, bayar kemudian, jadi tidak hairan perkhidmatan sewa iPhone pula akan menjadi trend seterusnya.”

Mengulas mengenai Fomo dari aspek pemasaran, Rosya Izyanie Shamshudeen dari Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi UM, berkata ia juga digunakan sebagai satu “alat” bagi syarikat melariskan produk mereka.

Katanya, antara pendekatan yang digunakan ialah menampakkan produk itu sebagai sesuatu yang istimewa dan akan merugikan individu jika tidak memilikinya.

“Iklan-iklan yang dipamerkan akan nampak istimewa dan jangka masa pendek, oleh itu orang ramai akan tergesa-gesa memiliki produk tersebut,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sudah tentu ini akan memberi impak besar kepada individu yang lebih impulsif.”

Bagi Raymond Ng, pengguna iPhone tegar sejak 2014, perkhidmatan sewa iPhone disifatkan sebagai satu langkah yang bakal disambut baik kerana ini membolehkan dia memiliki peranti terkini dikeluarkan oleh Apple.

Terdahulu, Ng mengakui disebabkan harga iPhone yang kini semakin mahal, tidak masuk akal untuk dirinya berbelanja lebih RM5,000 semata-mata ingin tukar ke peranti terkini setiap tahun.

Katanya, dengan jumlah bayaran itu, pengguna seperti dirinya akan menjangkakan peranti itu mampu bertahan sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun.

“iPhone X saya masih berfungsi dengan baik, oleh itu tiada sebab untuk saya membeli iPhone baru walaupun ia mempunyai beberapa fungsi baru.

“Tetapi menerusi perkhidmatan sewa, ini memberi saya peluang untuk tukar ke peranti terbaru setiap tahun dengan bayaran yang berpatutan,” katanya sambil menambah ramai penggemar produk Apple juga dijangka akan mempunyai pendirian sama dengan dirinya.

Tambah beliau, memandangkan ramai sudah memanfaatkan pembelian telefon pintar menerusi tawaran pakej daripada syarikat telekomunikasi seperti Maxis, Celcom dan Digi, tiada sebab untuk trend sewa telefon pintar akan menjadi hambar sekiranya ia diperkenalkan di Malaysia.