Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen.
“Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan perdana menteri bagi memulangkan kembali mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil,” kata kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, sejurus selepas Ismail mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini.
Kenyataan itu berkata Sultan Abdullah berharap Suruhanjaya Pilihan Raya akan menjalankan pilihan raya "dalam tempoh terdekat", dengan mengambil kira monsun timur laut yang diramalkan Jabatan Meterologi Malaysia akan bermula pada pertengahan November 2022.
“Baginda menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat.”
Pembubaran Parlimen berlaku ketika bantahan tegas disuarakan ramai pihak, termasuk lebih sepuluh menteri Kabinet Ismail sendiri di mana mereka menulis surat kepada Agong untuk menyuarakan bahawa mereka tidak bersetuju PRU15 diadakan tahun ini kerana kebimbangan ia dijalankan ketika musim banjir selain dapat menganggu usaha pemulihan ekonomi pasca pandemik.
Ini diikuti dengan lawatan Sultan Abdullah ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, di mana baginda diberi taklimat mengenai bencana dan persediaan menghadapi banjir.
MetMalaysia sebelum ini menasihatkan supaya kerajaan tidak mengadakan pilihan raya semasa musim tengkujuh timur laut, ketika desakan kuat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi supaya PRU diadakan tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Hisham Mohd Anip berkata, banjir lazimnya berlaku di seluruh negara pada musim tengkujuh.
“Dalam tempoh peralihan pun banyak tempat sudah banjir” katanya pada 6 Okt lalu, memetik kejadian banjir di Perak dan Johor baru-baru ini.
"Jadi dari segi kesesuaian, ia tidak membantu untuk mengadakan pilihan raya."