- Iklan -
Berita

Ismail selar anggota Kabinet utus surat pada Agong

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan itu menjadi rentetan kepada keputusan pembubaran Parlimen.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berucap dalam perutusan khas pembubaran Parlimen di Putrajaya. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berucap dalam perutusan khas pembubaran Parlimen di Putrajaya. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyelar 12 anggota Kabinet yang mengutus surat kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, sehari selepas Yang di-Pertuan Agong berkata tidak mempunyai pilihan lain selain bersetuju dengan pembubaran Parlimen.

Dalam sebuah kenyataan, Ismail berkata keputusan beliau membubarkan Parlimen juga adalah bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan dan menghentikan pertikaian mengenai dakwaan pentadbirannya adalah “kerajaan tebuk atap”.

“Keputusan ini juga adalah rentetan terhadap perkembangan politik semasa tanah air di mana 12 menteri menunjukkan sikap tidak wajar, mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong. 

“Justeru, pembubaran ini bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.”

Pada 6 Oktober, MalaysiaNow melaporkan anggota Kabinet Ismail dari Bersatu dan PAS menulis surat kepada Sultan Abdullah untuk menyatakan bantahan mereka terhadap gesaan pemimpin Umno supaya Parlimen dibubarkan.

Mereka memetik, antara lain, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai hujan lebat dan banjir akibat peralihan monsun dalam beberapa minggu akan datang, yang mungkin  bertepatan dengan pilihan raya umum jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat. 

Mereka juga menggesa tumpuan diberikan kepada usaha pemulihan ekonomi berikutan lebih dua tahun pandemik Covid-19.

Pilihan Raya Umum ke-15 sepatutnya diadakan tahun depan selepas penggal Parlimen ke-14 berakhir.

Bagaimanapun, Ismail mendapat tekanan hebat daripada sekumpulan pemimpin yang bersekutu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mahu Parlimen dibubarkan lebih awal.

PN dan gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) membantah sekeras-kerasnya sebarang tindakan untuk mengadakan pilihan raya, mengatakan tumpuan harus diberikan kepada pemulihan ekonomi yang baru pulih selepas pandemik, selain persediaan menghadapi banjir tahunan, di mana pada 2021, bencana alam itu meragut puluhan nyawa dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit.

PH, Bersatu dan PAS juga mengumumkan enam negeri diterajuinya tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini. 

Mereka berkata pilihan raya di peringkat negeri itu hanya akan diadakan tahun depan supaya pihak berkuasa boleh mengutamakan persiapan menghadapi banjir.

Dalam kenyataannya hari ini, Ismail berkata tindakan menteri-menteri ini jelas membelakangkan institusi perdana menteri yang mana pelantikannya diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong sekaligus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

“Malah tindakan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai kerajaan.”

Ismail turut berkata Muhyiddin sendiri pernah membuat kenyataan menyarankan agar Parlimen dibubarkan kerana mendakwa kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik. 

“Kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik kepada Keluarga Malaysia. 

“Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang.”