- Iklan -
Berita

Mahathir beri amaran Najib akan bebas jika Umno menang PRU15

Bekas perdana menteri itu berkata Umno akan segera membebaskan Najib dari penjara melalui pengampunan diraja jika parti itu menang pada PRU akan datang.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media di Putrajaya hari ini. Gambar: Reuters
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media di Putrajaya hari ini. Gambar: Reuters

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad meramalkan bekas perdana menteri Najib Razak akan dibebaskan dari penjara jika Barisan Nasional (BN) yang terpalit rasuah memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada Ogos lalu selepas gagal mengenepikan sabitan dan hukuman dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International.

Kini, Malaysia dijangka mengadakan PRU dalam tempoh beberapa minggu akan datang selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen pada Isnin selepas tekanan hebat diterimanya dari Umno yang merupakan parti beliau sendiri.

Bercakap sehari kemudian, Mahathir memberi amaran bahawa Umno akan segera membebaskan Najib dari penjara melalui pengampunan diraja serta menggugurkan puluhan pertuduhan rasuah lain jika memenangi parti itu memenangi PRU.

"Sekiranya mereka berjaya menang dan membentuk kerajaan, itu adalah objektif pertama, bukan tentang kebajikan rakyat," kata Mahathir, yang pernah dua kali menjadi perdana menteri, pada sidang akhbar.

Beliau berkata pendakwaan jenayah terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah  juga akan digugurkan.

Kedua-dua Najib dan Zahid kekal mengatakan mereka tidak bersalah dan menjadi mangsa dendam politik.

Mereka berdua didakwa, bersama pemimpin parti lain, selepas Umno kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 selepas pengundi menghukum parti itu kerana skandal 1MDB dan rasuah.

Setelah memimpin negara selama 22 tahun sehingga 2003, Mahathir yang sudah bersara telah membentuk gabungan untuk mengalahkan Najib, namun Pakatan Harapan yang dibentuk bersama parti pembangkang lain itu runtuh pada 2020, menyebabkan Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan Umno kembali menduduki pentadbiran kerajaan di bawah Perikatan Nasional.

Pada usia 97 tahun, Mahathir berkata beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi dalam pilihan raya akan datang, dan bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk mengalahkan Umno.

Umno kini mahu mandat yang lebih besar dalam pilihan raya akan datang bagi membentuk kerajaan sendiri, tanpa rakan gabungan yang berada di bawah pentadbiran diterajui Ismail.

Walaupun Najib menyifatkan hukuman dan sabitannya adalah dendam politik, namun skandal 1MDB menyaksikan beliau turut terlibat di mana sekurang-kurangnya enam negara telah membuka siasatan.

Penyiasat berkata kira-kira AS$4.5 bilion telah diselewengkan dari 1MDB - sebuah syarikat yang diasaskan Najib semasa tahun pertamanya pentadbirannya sebagai perdana menteri pada 2009 - sementara lebih AS$1 bilion dimasukkan ke akaun yang dikaitkan dengan beliau.

Jabatan Kehakiman AS menggelar skandal itu sebagai siasatan kleptokrasi terbesar pernah dijalankannya.

Pemimpin pembangkang yang lain juga membidas Umno kerana mendesak pilihan raya lebih awal ketika ekonomi negara masih lembab.

"Salah satu objektif Umno dalam PRU kali ini adalah adalah untuk membebaskan Najib dan protagonis lain dalam skandal 1MDB daripada sebarang jenayah," kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.