Anggota Kabinet Saifuddin Abdullah mengingatkan Ismail Sabri Yaakob supaya tidak mengalihkan perhatian rakyat, susulan kenyataan perdana menteri itu yang menyelar 12 menteri Perikatan Nasional (PN) yang menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong.
Dalam sebuah hantaran Facebook, Saifuddin yang juga menteri luar itu berkata ketika ini rakyat sudah tahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat oleh Ismail adalah kerana tekanan dari Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
“Justeru perdana menteri usahlah mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah yang dihadapinya itu,” katanya.
Pada 6 Oktober, MalaysiaNow melaporkan anggota Kabinet Ismail dari Bersatu dan PAS menulis surat kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menyatakan bantahan mereka terhadap gesaan pemimpin Umno supaya Parlimen dibubarkan.
Mereka memetik, antara lain, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai hujan lebat dan banjir akibat peralihan monsun dalam beberapa minggu akan datang, yang mungkin bertepatan dengan pilihan raya jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.
PRU15 sepatutnya diadakan tahun depan selepas penggal Parlimen ke-14 berakhir.
Bagaimanapun, Ismail mendapat tekanan hebat daripada sekumpulan pemimpin yang bersekutu dengan Zahid yang mahu Parlimen dibubarkan lebih awal.
PN dan gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) membantah sekeras-kerasnya sebarang tindakan untuk mengadakan pilihan raya, mengatakan tumpuan harus diberikan kepada pemulihan ekonomi yang baru pulih selepas pandemik, selain persediaan menghadapi banjir tahunan, di mana pada 2021, bencana alam itu meragut puluhan nyawa dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit.
Dalam hantarannya hari ini, Saifuddin sekali lagi menegaskan tujuan beliau dan rakan-rakannya dari PN menghantar surat tersebut hanyalah bertujuan menyuarakan kebimbangan rakyat agar PRU15 tidak dilaksanakan dalam musim tengkujuh di mana berkemungkinan berlaku banjir.
“Sebaliknya pada masa ini, rakyat mahu kerajaan memberi sepenuh tumpuan kepada langkah-langkah pemulihan ekonomi, mengawal kenaikan harga barang dan menyediakan peluang pekerjaan.
“PN akan terus mendahulukan kepentingan rakyat, terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini.”