- Iklan -
Berita

PAS akan putuskan isu pembubaran DUN di tiga negerinya esok

Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata keputusan membabitkan DUN Terengganu, Kelantan dan Kedah itu akan diumum selepas Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Kuala Lumpur.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
PAS akan memutuskan isu pembubaran DUN di tiga negeri yang diterajuinya selari pilihan raya umum. Gambar: AFP
PAS akan memutuskan isu pembubaran DUN di tiga negeri yang diterajuinya selari pilihan raya umum. Gambar: AFP

Keputusan sama ada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran PAS dibubarkan ataupun tidak selaras dengan pembubaran Parlimen ke-14 akan diketahui esok.

Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata keputusan membabitkan DUN Terengganu, Kelantan dan Kedah itu akan diumum selepas Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Kuala Lumpur esok.

Beliau berkata hal berkaitan pembubaran ketiga-tiga DUN difahamkan telah dibincangkan semalam (Selasa) untuk dibawa ke mesyuarat jawatankuasa penuh PAS Pusat esok.

“Saya tidak boleh mendahului mesyuarat, saya percaya lepas mesyuarat esok akan ada keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Terengganu Bhd 2022 di Wisma Darul Iman hari ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa 10 Oktober untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Susulan pembubaran Parlimen ke-14, perdana menteri turut mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor agar mendapatkan perkenan Sultan serta Yang di-Pertua Negeri untuk membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan pilihan raya negeri dan parlimen diadakan serentak.