- Iklan -
Berita

Ribut petir di Lembah Klang, beberapa sungai alami kenaikan paras air

Daerah yang terkesan berikutan hujan lebat termasuk Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Para pekerja membuat kerja pembersihan di tebing Sungai Gombak selepas paras air naik tinggi susulan hujan lebat selama beberapa jam pagi tadi.
Para pekerja membuat kerja pembersihan di tebing Sungai Gombak selepas paras air naik tinggi susulan hujan lebat selama beberapa jam pagi tadi.

Lembah Klang dijangka berdepan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang hari ini, menurut maklumat daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sehingga 1 tengah hari ini.

Daerah yang terkesan termasuklah Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang di Selangor, serta Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Hujan dilaporkan turun di seluruh negara bermula malam tadi. 

Beberapa kawasan menuju ke ibu negara turut dilaporkan sesak akibat hujan. 

Warga kota turut berkongsikan gambar aliran air Sungai Gombak yang meningkat ekoran hujan tanpa henti sejak malam tadi. 

Kawasan lain termasuk beberapa daerah di Utara seperti Kulim dan Bandar Baharu di Kedah, Pulau Pinang. 

Di Pahang, daerah-daerah yang cenderung banjir seperti Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan turut dilaporkan menerima ribut petir.

Di selatan, Johor turut menerima cuaca sama membabitkan Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu hantaran di media sosial meminta warga kota di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor berhati-hati memandu ketika hujan lebat. 

Sementara itu, laman sesawang infobanjir.my memaparkan paras air di beberapa sungai berada pada tahap waspada dan amaran. 

Stesen Teluk Penyamun di Kuala Selangor mencatatkan paras amaran iaitu 2.93 meter berbanding paras normal 1.3 meter. 

Begitu juga di Stesen Sungai Labu, Salak Tinggi, di Sepang yang mencatatkan paras amaran pada 9 meter berbanding paras normal 7 meter.  

Dua stesen mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Rasa, Pulau Meranti, Sepang dan Sungai Klang di Bandar Klang.

Hujan tanpa henti dengan taburan yang tinggi pada tahun lalu mengakibatkan banjir besar melanda beberapa bahagian di Lembah Klang antaranya Sri Muda, Bukit Lanchong, dan Hulu Langat dengan anggaran kerugian sekitar RM6 bilion.

Selain itu, banjir turut menggelamkan beberapa penempatan di Bentong, Pahang.  

Tahun ini, beberapa kawasan di Perak dan Johor dinaiki air ketika fasa musim peralihan monsun sehingga pertengahan November ini.