Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin mengingatkan para pemimpin dan ahli politik negara supaya tidak melupakan urusan bencana Covid-19 dan pemulihan ekonomi untuk mengurangkan beban rakyat meskipun sibuk dengan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kata Muhyididin, setiap pemimpin perlu bijak menguruskan masa dan mengatur keutamaan tanpa mengabaikan kebajikan rakyat yang sedang berdepan pelbagai cabaran hidup.
Jelasnya, beliau sering turun ke lapangan berjumpa dengan masyarakat dan mendengar luahan kekecewaan mereka terhadap pergolakan politik negara yang disifatkan sebagai gemar berebut kuasa sehingga melupakan kebajikan rakyat.
Atas sebab itu, Muhyiddin berkata beliau amat memahami sentimen berkenaan dan cuba memastikan tugas-tugas berkait hal ehwal negara tetap berjalan di musim pilihan raya.
"Saya faham sebab saya turun ke bawah dan kita dengar (luahan) itu," katanya dalam sidang media di Hotel Everly, Putrajaya hari ini.
Pada Isnin, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Walaupun tidak bersetuju dengan pembubaran Parlimen lebih awal, namun Muhyiddin yang memimpin gabungan Perikatan Nasional berkata ia tetap menerima keputusan itu kerana selari dengan Perlembagaan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita mengapa dirinya dilihat begitu tenang dalam suasana kempen pilihan raya, Muhyiddin menyifatkan dirinya sebagai sorang yang "multitasking" atau boleh melakukan pelbagai kerja dalam satu masa.
Beliau yang juga merupakan presiden Bersatu menegaskan dirinya juga sibuk seperti pemimpin-pemimpin politik yang lain menguruskan parti dan mempimpin PN.
Namun, pada masa yang sama beliau tetap meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat melebihi kerja-kerja politik tersebut.
"Saya selalu tenang. Saya tak pernah ‘over react’. Istiqamah kata orang Arab.
"Maknanya, dah tekad dan bertawakal," katanya.