Penduduk Taman Sri Muda, Shah Alam mungkin tidak akan keluar mengundi sekiranya berlaku banjir pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tinjauan MalaysiaNow di taman perumahan itu mendapati, rata-rata penduduk tidak setuju dengan keputusan mengadakan PRU15 pada waktu ini apabila rakyat kini terdedah dengan risiko banjir besar.
Bercakap dengan MalaysiaNow, mereka berkata, insiden banjir pada tahun lalu masih menghantui mereka kerana kerugian yang dialami begitu dasyat.
Malah, mereka turut meluahkan rasa kecewa dan menganggap keputusan membubarkan Parlimen waktu ini sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Pada akhir tahun lalu, negara dikejutkan dengan insiden banjir besar hingga menyebabkan beberapa kawasan termasuk Taman Sri Muda dan Hulu Langat tenggalam apabila paras air mencecah setinggi bumbung rumah penduduk.
Selain mengalami kerugian hingga jutaan ringgit, bencana itu turut meragut hampir 50 nyawa di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi, demikian menurut data polis setakat 19 Disember 2021.
Khuzaifah Saad, 35, penduduk yang menetap di Taman Sri Muda sejak 16 tahun lalu, berkata sekiranya insiden sama berulang pada tahun ini, dia tidak akan pulang mengundi di Jengka, Pahang.
Sebagai seorang suami dan bapa kepada enam anak, dia akan memberi tumpuan untuk memastikan keselamatan keluarganya dan meminimumkan kerugian.
"Jika berlaku banjir atau hujan lebat berterusan, saya akan membuat persiapan sewajarnya dan jika tidak sempat pulang mengundi, tidak mengapa kerana keselamatan keluarga menjadi keutamaan," katanya.
Pada 10 Oktober, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen, memberi laluan kepada PRU15 meskipun tidak dipersetujui menteri Kabinet terutamanya dari kalangan Perikatan Nasional (PN).
Pengumuman itu dibuat selepas beliau mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada hari sebelumnya untuk menyembah warkah permintaan kepada Baginda, mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.
Sementara itu, pemandu van sekolah, Selvi Ramasamy, 54, juga mempunyai pendirian sama apabila enggan keluar mengundi jika berlaku banjir.
Menurut Selvi, dia mengalami kerugian besar apabila dua van sekolah miliknya rosak teruk akibat ditenggelami air kerana tidak sempat mengalihkannya ke tempat yang lebih tinggi.
"Walaupun belum banjir tetapi hujan tanpa henti, saya masih tidak akan pergi mengundi kerana takut," katanya yang sudah menetap di Taman Sri Muda sejak 30 tahun lalu.
"Air naik begitu dalam dan keadaan ini membahayakan. Saya tidak akan ambil risiko."
Bagi pemilik restoran, Muhammad Mubarak, tidak salah untuk kerajaan membubar Parlimen bagi memberi laluan mengadakan PRU15, tetapi ini bukan masanya.
Beliau berkata, walaupun proses mengundi itu penting bagi setiap rakyat Malaysia, faktor keselamatan diri akan terus mengatasi keperluan untuk mengundi.
"Saya setuju dengan pilihan raya kerana saya inginkan perubahan, tetapi kalau banjir bagaimana saya nak mengundi?" soalnya.
"Disebabkan banjir tahun lalu, restoran saya rosak teruk dan saya terpaksa berbelanja besar untuk melakukan baik pulih untuk meneruskan operasi perniagaan."
Bagi Syazaratul Nadzira, 28, seorang peniaga di Taman Sri Muda, dia hanya akan kembali mengundi di Johor Bahru sekiranya keadaan mengizinkan.
"Sebelum ini saya mengundi di Johor, tetapi kali ini saya tidak pasti sama ada ingin pulang mengundi atau tidak.
"Bergantung kepada keadaan. Jika tidak banjir baru saya pulang mengundi," katanya.