- Iklan -
Berita

Penduduk fail permohonan cabar keputusan kerajaan Selangor roboh Stadium Shah Alam

Ahmad Mua’Adzam memohon perintah mahkamah bagi membatalkan keputusan kerajaan Selangor untuk merobohkan stadium itu dan membina stadium lebih kecil serta memajukan tanah sekitarnya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara Stadium Shah Alam yang tidak diselenggara dengan baik dan tiada aktiviti.
Pemandangan udara Stadium Shah Alam yang tidak diselenggara dengan baik dan tiada aktiviti.

Seorang penduduk Shah Alam, Ahmad Mua’Adzam Shah Ya’akob memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan negeri dan menteri besar Selangor untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan membina stadium berskala lebih kecil.

Mua’Adzam, 48, selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam ini menerusi Tetuan Kamarudin & Partners dengan menamakan datuk bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Menteri Besar Selangor dan kerajaan Selangor sebagai respondan pertama hingga ketiga.

Dalam permohonan itu, Mua’Adzam memohon satu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan responden ketiga (kerajaan Selangor) bertarikh 16 Julai 2022 dan keputusan bertarikh 30 September 2022 yang dilaksanakan oleh responden kedua (menteri besar Selangor) untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan membina stadium lebih kecil serta memajukan tanah sekitarnya.

Lelaki itu juga memohon perintah mandamus bahawa responden-responden mengikut peraturan-peraturan menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 sebelum apa-apa keputusan dibuat terhadap stadium tersebut khususnya notis awam dengan menjemput mana-mana pihak berkepentingan terutama pemilik-pemilik tanah yang berhampiran memberi pengesahan sama ada membantah atau bersetuju dengan cadangan responden ketiga.

Selain itu, Mua’Adzam turut memohon suatu perintah larangan di bawah Aturan 53, Kaedah 2(1) KM 2012 diberikan supaya keputusan kerajaan Selangor digantung sementara sehingga permohonan itu diputuskan.

Sementara itu, peguam Kamarudin Ahmad yang mewakili Mua’Adzam, ketika dihubungi Bernama berkata permohonan itu difailkan di mahkamah tersebut kira-kira 11 pagi tadi.