- Iklan -
Berita

PN perlu masa teliti kerjasama dengan GTA, kata Muhyiddin

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mengesahkan Pejuang masih belum menghubunginya untuk berbincang mengenai bentuk kerjasama politik menuju PRU15.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddn Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddn Yassin.

Perikatan Nasional (PN) berkata pihaknya akan meneliti keputusan berhubung kerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Dr Mahathir Mohamad bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU). 

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan diteliti dengan lebih mendalam memandangkan ia tidak boleh diputuskan oleh beliau seorang selain melibatkan pimpinan daripada parti-parti komponen di dalam PN. 

"Setakat ini tak ada keputusan nak buat. Sebab masing-masing ada pengalaman mereka masing-masing.  

"PAS dan Gerakan ada pengalaman. Macam kami, Bersatu pun ada pengalaman," katanya dalam satu sidang media, mengulas pertanyaan media mengenai jalinan kerjasama dengan pengerusi Pejuang itu.

Menurutnya lagi, perkara tersebut akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN dalam masa terdekat. 

Dengan cara itu, katanya, kesemua pihak boleh mengenal pasti sama ada bentuk kerjasama itu bakal memberikan keuntungan atau kerugian kepada PN menjelang pilihan raya. 

"Jangan untung satu pihak, rugikan satu pihak. 

"Bagaimana pula dengan pandangan pengundi? Mereka suka atau tidak? 

"Itu pun kena tengok juga," katanya. 

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan bahawa partinya bersedia untuk mempertimbangkan kerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada PRU15 sekiranya pihak berkenaan serius mengenai hal tersebut   

Bagaimanapun Muhyiddin mengesahkan setakat ini pihak Pejuang belum menghubunginya bagi membincangkan perkara berkenaan.

Muhyiddin dan Mahathir menubuhkan Bersatu pada 2016 ketika kemuncak skandal 1MDB. 

Parti itu kemudiannya menyertai Pakatan Harapan (PH) pada Disember tahun sama namun keluar daripada gabungan itu berikutan kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020.

Mahathir dan Muhyiddin kemudian berpecah dan Mahathir dipecat sebagai pengerusi Bersatu beberapa bulan kemudian.

Mahathir kemudiannya mengasaskan Pejuang di mana anaknya Mukhriz menjadi presiden.