- Iklan -
Berita

1,500 permohonan kerja diterima dalam program Miti hari ini

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, berkata sebanyak 27 syarikat multinasional mengambil bahagian dalam program hari ini, menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Pengunjung bertanya sesuatu berkaitan produk ketika di tapak pameran MPC sempena Hari Miti 2022 di Hulu Kelang.
Pengunjung bertanya sesuatu berkaitan produk ketika di tapak pameran MPC sempena Hari Miti 2022 di Hulu Kelang.

Sebanyak 1,500 permohonan diterima pada Pameran Kerjaya Mida yang dianjurkan sempena Hari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) 2022 di Taman Melawati di Gombak, Selangor hari ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, berkata menerusi pameran itu, sebanyak 27 syarikat multinasional mengambil bahagian menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Beliau berkata, penganjuran pameran ini adalah sebahagian daripada inisiatif Miti bagi meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan anak muda yang mengalami kesukaran untuk mencari bidang pekerjaan terutama selepas penularan Covid-19.

Katanya, sejak Januari 2021 hingga Jun lalu, Miti berjaya mencipta 539,000 pekerjaan baru yang berkualiti untuk rakyat Malaysia.

"Dalam keadaan pandemik, ramai hilang pekerjaan," katanya pada sidang media hari ini.

"Miti dan 12 agensi yang terletak di bawah kementerian ini akan meneruskan usaha dan melengkapkan proses pemulihan ekonomi negara.”

Mengulas mengenai penganjuran program itu, Azmin berkata, ia bertujuan memberi penerangan kepada rakyat mengenai tanggunjawab kementerian itu yang mana ia berperanan sebagai institusi menggerakkan penjanaan ekonomi negara.

Selain itu, katanya, tanggungjawab Miti juga termasuk mencipta pekerjaan bagi anak-anak tempatan serta menarik pelaburan dan perdagangan pelaburan berkualiti tinggi demi memastikan pertumbuhan ekonomi negara.

"Dalam tempoh dua tahun yang mencabar ini, Miti berusaha menarik pelaburan dan melonjakkan prestasi perdagangan dan ini terbukti berjaya di luar jangkaan kita.

"Prestasi eksport sudah melepasi angka RM2 trilion dalam tempoh 2 Januari hingga September tahun ini," katanya.

Menurut Azmin, ini membuka peluang kepada industri tempatan meningkatkan lagi aktiviti perkilangan dan pembuatan untum memenuhi permintaan luaran dan pasaran global.

"Ini juga membuka peluang untuk mencipta pekerjaan yang berkemahiran tinggi," katanya.