- Iklan -
Berita

Jangan lari, lawan Azmin, PN cabar Anwar

Perikatan Nasional berkata sikap Anwar Ibrahim yang tidak jelas ketika mencabar ‘pengkhianat PKR’ adalah kerana beliau takut tak dapat sokongan pengundi Melayu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Perikatan Nasional (PN) menggesa Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menepati kenyataannya yang mahu bertanding di kerusi yang disandang "pengkhianat PKR" pada pilihan raya akan datang, menyifatkan sikap pemimpin pembangkang itu yang bertukar nada kerana takut ditolak pengundi Melayu.

Mansor Othman, setiausaha eksekutif jabatan pilihan raya PN, berkata Anwar mengelak selepas Mohamed Azmin Ali mengalu-alukan presiden PKR itu untuk bertanding kerusi Parlimen Gombak yang disandangnya.

“Alasan yang sebenarnya Anwar takut untuk menghadapi Azmin di Gombak adalah terang. 

"Gombak terdiri daripada lebih 75% undi Melayu,” katanya sambil menambah Anwar dan Pakatan Harapan (PH) ditolak oleh golongan ini.

"Bagi menutupi kegagalan Anwar untuk menerima cabaran berani Azmin, pada 15 Oktober 2022, Anwar mendakwa kononnya menerima beberapa tawaran untuk bertanding di kerusi Parlimen di Negeri Sembilan, Johor dan Pulau Pinang dan ‘pening’ untuk memilih kerusi yang mana untuk bertanding.

“Pendek kata, Azmin Ali menyahut gertakan Anwar dan Anwar cabut lari."

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Azmin mengkritik wakil rakyat yang sering bertukar kerusi dan bertanding di kawasan berbeza untuk memenuhi kepentingan peribadi mereka.

Katanya, tanggungjawab seorang pemimpin adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan untuk menjadikan kerusi Parlimen sebagai tempat untuk berebut kuasa.

Beliau juga berkata adalah tidak wajar untuk bertanding di kawasan tertentu sahaja bagi menjatuhkan orang lain.

Dalam kenyataannya hari ini, Mansor berkata Anwar dan PKR menghabiskan masa sejak kejatuhan pentadbiran PH pada 2020 “untuk menyerang dan menghina Azmin dan rakan-rakannya.".

“Sekarang, apabila akhirnya Anwar diberi peluang untuk berdepan dengan Azmin di kotak undi, Anwar melarikan diri,” tambahnya.

Azmin memenangi kerusi Gombak dengan tiket PKR pada PRU14, menewaskan calon dari Umno dan PAS.

Ketika itu, Gombak mempunyai 141,112 pengundi berdaftar, di mana 85.4% daripadanya keluar mengundi.

Majoriti 75.8% di kerusi itu adalah pengundi Melayu manakala India (10.77%) dan Cina (10.67%).

Azmin kemudiannya menyertai Bersatu di mana beliau kini menjadi ahli Majlis Tertinggi parti itu.

Kerusi Gombak menjadi bahan spekulasi selepas Anwar membayangkan beliau mungkin bertanding di kerusi itu pada PRU15.

Namun sebaliknya, MalaysiaNow melaporkan presiden PKR itu mungkin akan bertanding di kerusi Bandar Tun Razak, di mana sumber PKR berkata pakar strategi parti sedar bahawa Gombak yang merupakan kerusi majoriti Melayu di Kuala Lumpur terdiri daripada pengundi pinggir dan pusat bandar adalah kubu kuat Azmin.