Kerajaan hari ini bersetuju untuk menghapuskan hutang peserta Felcra Bhd selain mengumumkan pengagihan keuntungan boleh agih interim 2/2022 berjumlah RM181.5 juta untuk para pesertanya.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau difahamkan lembaga pengarah Felcra telah meluluskan cadangan untuk memohon kerajaan supaya menghapus kira hutang peserta Felcra yang tertunggak bernilai RM233.8 juta bagi projek kurang berdaya maju.
“Sehingga Disember 2021, sebanyak 323 projek dengan keluasan 22,173 hektar dikenal pasti sebagai projek kurang berdaya maju. Kalau hasilnya kurang, saya faham macam mana hendak bayar hutang,” katanya pada program Ramah Mesra Perdana Menteri bersama peserta Felcra, pekebun kecil Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan warga Orang Asli di Arena Merdeka di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata hal berkaitan penghapusan hutang peserta Felcra itu perlu dibawa ke mesyuarat Kabinet sebagai prosedur untuk kelulusan dan berharap ia dapat dikemukakan ke Kabinet selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).