- Iklan -
Berita

GTA tak bekerjasama dengan PH kerana Melayu tolak DAP, kata Dr Mahathir

Bekas perdana menteri itu berkata kerjasama dengan PH akan menyebabkan Gerakan Tanah Air kehilangan undi Melayu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Gerakan Tanah Air Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Pengerusi Gerakan Tanah Air Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Dr Mahathir Mohamad berkata gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan Umno dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun ini.

Menurut bekas perdana menteri itu, musuh utama GTA adalah Umno kerana parti itu disifatkan sebagai "perosak" negara dan menyalahgunakan duit rakyat selain para pemimpinnya yang terlibat dengan kes jenayah.

Sementara usaha untuk menjalin kerjasama dengan PH pula tidak diusahakan kerana GTA ia akan menyebabkan gabungan itu hilang undi Melayu pada pilihan raya yang bakal diadakan.

"PH ini, orang Melayu tak suka DAP. Jadi, kalau kita kerjasama dengan PH mungkin (GTA) hilang undi Melayu," katanya dalam satu sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Mahathir memberitahu GTA sedang mempertimbangkan kerjasama dengan Perikatan Nasional untuk melihat sama ada parti-parti komponen gabungan itu selari dengan perjuangannya.

"Kita nak tengok jika mereka sependapat dengan kita atau tidak. Adakah pemimpinnya terlibat dengan jenayah dan sama dasar dan prinsip (GTA).

"Mungkin ada kerjasama."

Sebelum ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata pihaknya akan meneliti keputusan berhubung kerjasama GTA bagi menghadapi PRU15.

Bagaimanapun, Muhyiddin mengesahkan setakat ini pihak gabungan itu belum menghubunginya bagi membincangkan perkara berkenaan.