Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini meminta pihak pendakwaan mendapatkan arahan sewajarnya daripada Jabatan Peguam Negara berhubung kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa agar kes tersebut tidak tergantung terlalu lama.
Hakim Muhammad Jamil Hussin menyatakan demikian selepas timbalan pendakwa raya Zaki Asyraf Zubir memaklumkan bahawa Ng, yang turut dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), diserahkan sementara ke Amerika Syarikat (AS) sehingga 28 Februari 2024 bagi menyelesaikan semua proses rayuan kes jenayah yang dihadapinya di mahkamah negara itu.
“Kalau kes ini ditangguhkan selepas Februari 2024 ia terlalu lama, mungkin pihak pendakwaan boleh mendapatkan arahan sewajarnya daripada pihak Peguam Negara atau pendakwaan,” kata hakim itu.
Muhammad Jamil menetapkan pengurusan kes pada 10 Januari tahun depan untuk pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah arahan yang sewajarnya berkenaan kes itu supaya ia tidak tergantung terlalu lama tanpa sebarang tindakan.
Terdahulu, Zaki berkata perbicaraan kes jenayah yang dihadapi Ng di mahkamah di AS telah selesai dan proses hukuman yang sepatutnya dijalankan pada 9 November ditangguhkan kepada 9 Disember ini.
Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Ng berkata kedua-dua kerajaan (Malaysia dan AS) telah mencapai persetujuan untuk anak guamnya diserahkan ke negara itu (AS) sehingga 28 Februari 2024.
“Saya cadangkan pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada Januari atau Februari 2023 kerana proses hukuman telah ditetapkan oleh Mahkamah Eastern District of New York pada 9 Disember,” katanya.
Pada 8 April lepas, Ng didapati bersalah oleh mahkamah di AS kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada syarikat pelaburan 1MDB bagaimanapun hukuman terhadapnya masih belum diputuskan.
Pada 19 Disember 2018, Ng mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013.
Pada 4 September 2021, pertuduhan terhadap Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia iaitu Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) digugurkan selepas hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion.