Polis minta orang ramai jangan spekulasi kes warga Palestin diculik
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata sebarang spekulasi itu boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat.
Terkini
Orang ramai diminta untuk tidak menimbulkan spekulasi berhubung kes penculikan warga Palestin yang sudah dibawa ke mahkamah.
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata sebarang spekulasi yang ditimbulkan itu boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat.
“Polis masih meneruskan siasatan dan menunggu proses sebutan semula kes pada 15 Disember depan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini di atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.
Mereka ialah Edy Ko’im Said, 40; Mohamad Norakmal Hassan, 41; Dody Junaidi, 42; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39; Mohamad Naziree Mustapha, 39; Faizull Hardey Mohd Isa, 40; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25; Mohamad Sufian Saly, 23; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 21; Nidarahayu Zainal, 34, dan Raibafie Amdan, 39.
Mereka didakwa secara niat bersama telah menahan Omar ZM Albelbaisy Raeda untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.
Pada 5 Oktober lepas, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berumur 31 tahun itu sehari selepas diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.
Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor serta di Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Oktober.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.