- Iklan -
Berita

PRU musim tengkujuh 1999 beza dengan sekarang, kata Dr Mahathir

Menurut pengerusi Gerakan Tanah Air, ketika itu, kedua-dua parti dari blok kerajaan dan pembangkang dalam keadaan bersedia untuk menghadapi PRU10

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Gerakan Tanah Air Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin parti-parti komponen gabungan itu pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Pengerusi Gerakan Tanah Air Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin parti-parti komponen gabungan itu pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad menegaskan pengumuman bubar Parlimen oleh perdana menteri di musim tengkujuh tidak sama dengan situasi yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) pada tahun 1999 ketika beliau menjadi perdana menteri ke-4.

Mahathir berkata, PRU10 berada dalam keadaan yang terkawal dan adil apabila pihak dari blok parti kerajaan dan pembangkang amat stabil serta bersedia untuk berdepan pilihan raya.

Namun, katanya keputusan bubar Parlimen yang dibuat oleh Ismail Sabri Yaakob dilihat sebagai mengambil kesempatan di saat parti-parti politik lain tidak bersedia dan kekurangan jentera pilihan raya.

"Ketika itu kerajaan dan pembangkan bersedia. Malah, tiada banjir dan ribut berlaku.

"Tak halang pengundi untuk keluar mengundi," katanya ketika ditanya pemberita berhubung tindakan pembubaran Parlimen di musim tengkujuh yang berlaku pada bulan Oktober tahun 1999.

Dalam pada itu, Mahathir memberitahu gabungannya akan mengumumkan calon-calon bagi kerusi Parlimen sempena pilihan raya umum yang tarikhnya dijangka akan diumumkan pada minggu depan.

PRU10 diadakan kira-kira setahun selepas Mahathir memecat Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri, mencetuskan protes jalanan selama beberapa bulan di Kuala Lumpur.

Pilihan raya itu menyaksikan PAS mencipta sejarah dengan penguasaan sokongan di utara negara yang didominasi undi Melayu, manakala Umno pula kehilangan sokongan undi Melayu.

Bagaimanapun, kerajaan Barisan Nasional berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga walaupun kehilangan undi tradisinya.

Pengumuman pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu tidak dipersetujui parti-parti pembangkang sementara anggota Kabinet berbelah bagi berhubung keputusan Ismailyang merupakan naib presiden Umno.

Menteri dari Perikatan Nasional terdiri dari Bersatu dan PAS turut menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan ketidaksetujuan mereka untuk Parlimen dibubarkan memetik musim banjir dan bagi menumpukan usaha pemulihan ekonomi pasca Covid-19.