- Iklan -
Berita

Blok politik digesa beri tumpuan rangka dasar kesihatan dalam manifesto PRU15

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata isu penjagaan kesihatan jarang menjadi tumpuan perbahasan politik ketika pilihan raya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pesakit luar menunggu di farmasi untuk mengambil preskripsi ubat di sebuah klinik di Ampang, Selangor.
Pesakit luar menunggu di farmasi untuk mengambil preskripsi ubat di sebuah klinik di Ampang, Selangor.

Kumpulan pendesak berhubung dasar kesihatan awam menyuarakan keluhan mengenai tumpuan yang kurang diberikan kepada isu penjagaan kesihatan oleh blok politik di Malaysia, menggesa supaya dijadikan sebagai isu utama dalam manifesto pilihan raya yang akan dijalankan bulan depan.

“Isu penjagaan kesihatan jarang menjadi tumpuan perbahasan politik dalam mana-mana kempen pilihan raya, lebih-lebih lagi pilihan raya umum. 

“Ramai yang percaya isu kesihatan tidak seharusnya dipolitikkan. Perkara ini harus berubah," kata Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial ketika mengutarakan dokumen bagi memberitahu parti-parti politik apa yang perlu diutamakan dalam sektor kesihatan.

Dokumen tersebut antara lain memberi amaran bahawa peruntukan besar setiap tahun bagi sektor kesihatan sebenarnya masih tidak mencukupi.

“Adalah satu hal yang membuka mata apabila disedari bahawa cadangan peningkatan peruntukan sebanyak RM3.7 bilion seperti yang diumumkan dalam Bajet 2023 baru-baru ini secara praktikalnya akan digunakan bagi kos rawatan diabetes (dianggarkan sekitar RM 3.1 bilion setahun)," kata dokumen itu.

Pusat Galen berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seharusnya menjadi peluang untuk mengukur komitmen parti politik berhubung isu penjagaan kesihatan.

"Tidak ada tongkat ajaib, atau harapkan orang lain untuk pikul beban tanggungjawab bagi sebuah pembaharuan yang sangat diperlukan. 

“Komitmen yang utuh, termasuk usaha pengukuhan dasar, sumber kewangan dan sumber manusia  sehinggalah cadangan pembaharuan adalah diperlukan. Bukan lima atau sepuluh tahun akan datang, tapi mulai hari ini," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Mohd Khalib.

Beliau berkata empat isu kritikal mesti ditangani oleh parti politik, termasuk pembiayaan penjagaan kesihatan, penyakit tidak berjangkit, kesihatan mental dan populasi yang semakin menua.

"Jika parti politik tidak mempunyai sekurang-kurangnya tiga dari empat perkara yang disenaraikan, itu bermakna mereka tidak serius tentang cabaran berterusan dan masa depan yang memberi kesan kepada keadaan kesihatan rakyat Malaysia, dan sebaliknya menyerahkan masalah itu kepada kerajaan lain untuk diselesaikan, atau lebih teruk berpura-pura bahawa isu ini tidak relevan kepada pengundi," tambahnya.

Beliau berkata kerajaan baru yang akan dibentuk perlu mengambil langkah tidak popular seperti cukai dan peraturan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik untuk orang ramai.

"Kami menggesa semua pihak membaca dokumen yang kami sediakan dan melihat sama ada manifesto mereka memenuhi jangkaan mengenai kesihatan."

"Kami akan membaca dan menilai manifesto parti politik utama dan gabungan, dan tidak akan teragak-agak untuk menyatakan mana yang baik, yang tidak bagus serta yang buruk berkait soal kesihatan."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.