- Iklan -
Berita

Graduan mahu pasaran kerja lebih dinamik pasca PRU15

Ramai yang masih bergelut mencari pekerjaan, walaupun statistik menunjukkan pasaran buruh negara meningkat.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menghadiri sebuah program kerjaya dianjurkan kerajaan di Hulu Kelang. Graduan berkata mereka mahu pasaran kerja yang lebih dinamik selepas PRU15.
Orang ramai menghadiri sebuah program kerjaya dianjurkan kerajaan di Hulu Kelang. Graduan berkata mereka mahu pasaran kerja yang lebih dinamik selepas PRU15.

Sejak tamat pengajian beberapa bulan lalu, Nurafiah Azizul Rahim dan Shahirah Qistina Mohd Redza, kedua-dua berusia 20 tahun, tidak membuang masa mencari kerja sementera menunggu tarikh graduasi. 

Dua graduan bidang perbankan daripada Kolej Vokasional Gombak itu kini bekerja separuh masa di luar pengajian mereka. 

Nurafiah bekerja di restoran manakala Shahirah bekerja di sebuah kedai bunga. 

"Saya mencuba pelbagai aplikasi dan laman sesawang dalam talian seperti Indeed dan Jobstreet untuk mencari kerja. 

“Tetapi sehingga hari ini masih belum ada rezeki," kata Nurafiah kepada MalaysiaNow.

Kedua-dua mereka meluangkan masa ke pameran pekerjaan anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) di Taman Melawati, Gombak di Selangor baru-baru ini.

Menurut Shahirah pula, meskipun pameran seperti itu amat menggalakkan bagi graduan sepertinya, gadis itu berharap agar lebih banyak pekerjaan daripada pelbagai industri disediakan. 

"Kita jangkakan ada syarikat daripada pelbagai sektor, tetapi banyak daripada bidang kejuruteraan atau teknologi," katanya.

Mereka berharap siapa pun yang akan membentuk kerajaan memberi perhatian kepada pasaran kerja tempatan dengan gaji yang bersesuaian.

Menurut mereka, sukar untuk menampung kehidupan di ibu kota dengan gaji minimum yang ditetapkan baru-baru ini, iaitu pada kadar RM1,500.

Pasaran pekerjaan di Malaysia dijangka terus mengukuh pada separuh kedua tahun ini. Sebagai rekod, firma penyelidikan MIDF Research mengunjurkan kadar pengangguran yang lebih rendah pada 2022, iaitu 3.8% berbanding 4.5%.

Namun tidak semua pihak mendapat manfaat dengan pengukuhan itu. 

Meskipun pencarian kerja sering dikaitkan dengan graduan baru, tidak semua pencari kerja berada pada julat usia 20-an. 

Mohammad Faizal yang berusia 45 tahun adalah antara pencari kerja yang bergelut untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil. 

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai pegawai perolehan dalam bidang penjagaan kesihatan berkata, kontraknya dengan syarikat terdahulu tamat dan tidak diperbaharui. 

"Saya ada mohon banyak jawatan kosong dan pernah ditemu duga sekali sahaja, namun tidak berjaya mengisi kekosongan itu. 

"Walaupun peluang pekerjaan banyak, tetapi ramai juga yang sedang menganggur, malah ramai juga graduan baru yang menyertai pasaran kerja setiap tahun," katanya yang sudah beberapa bulan menganggur. 

Faizal kini menyara keluarga dengan membuat kerja-kerja gig, namun persaingan yang ramai menyebabkan pendapatan dalam bidang ekonomi gig itu sedikit-sebanyak terjejas.

"Untuk golongan berusi macam saya, saya tak kisah peluang pekerjaan pada peringkat apa. Tetapi disebabkan usia, peluang itu tipis. 

"Syarikat mahukan bakat muda kerana mereka mudah dibentuk dan mereka mahu membayar gaji rendah walaupun syarikat terutamanya syarikat pemula perlukan tenaga kerja berpengalaman," katanya. 

Walaupun kerajaan tidak sepenuhnya mencampuri pasaran tenaga kerja, beberapa isu berkaitan dengan pasaran kerja dan buruh sudah ditekankan oleh pakar-pakar ekonomi. 

Menurut mereka, Malaysia memerlukan reformasi buruh yang kritikal bagi mendepani isu-isu tersebut. 

Lain pula ceritanya dengan Shahir Jalal, pemuda berusia 25 tahun yang mendapat kerja, namun berhenti kerana minat yang baru diteroka. 

Shahir yang sebelum ini bekerja sebagai jurutera penghasilan di sebuah kilang di Klang, Selangor sedang mencari peluang dalam bidang teknologi.

"Saya hadir ke pameran ini mengharapkan ada pembukaan sebagai coder. Saya belajar sendiri coding dengan sebuah akademi swasta tempatan dan kini mendapat sijil perakuan kemahiran saya.

"Harapan saya agar kerajaan mewujudkan lebih banyak jawatan dalam bidang teknologi," katanya yang memohon beberapa kekosongan dalam pameran itu. 

Dia mengubah haluan hidup kerana ingin mencari tempat kerja yang lebih dekat serta kerja pejabat yang kurang memenatkan berbanding kerja sebelum ini. 

Bagi Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School, isu membabitkan pasaran kerja bukan sahaja memerlukan polisi kerajaan, malah anjakan daripada pihak swasta.

"Swasta harus meningkatkan kecekapan dari segi operasi dan juga pengurusan kos supaya mampu menggaji pekerja tempatan dengan tawaran yang lebih menarik tanpa menjejaskan keuntungan syarikat. 

“Syarikat tempatan tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada pekerja asing yang bergaji murah kerana ia tidak akan membantu syarikat untuk berdaya saing dan mampan dalam jangka masa panjang.

"Perniagaan yang tidak melaksanakan proses digitalisasi dan automasi akan berisiko tidak mampu bersaing lagi," katanya.

Kerajaan selepas ini katanya wajar melakukan intervensi dengan menggalakkan digitalisasi serta mengehadkan kemasukan pekerja asing, selain memberi insentif kepada majikan untuk mengambil pekerja tempatan yang berkemahiran tinggi.