- Iklan -
Berita

Keputusan mahkamah buktikan saya di pihak benar, kata bekas staf Anwar

Muhammed Yusoff Rawther berkata perintah mahkamah supaya Tunku Nashrul Tunku Abaidah memohon maaf dan membayar kos RM200,000 telah membersihkan namanya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Muhammad Yusoff Rawther.
Muhammad Yusoff Rawther.

Bekas pembantu penyelidik Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini mengalu-alukan keputusan mahkamah yang memerintahkan setiausaha akhbar ahli politik itu membayar kos RM200,000 kepadanya dalam saman fitnah berhubung dakwaan serangan, menyifatkan ia sebagai satu langkah yang membuktikan dakwaannya tentang apa yang berlaku.

Muhammed Yusoff Rawther berkata keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam yang turut  memerintahkan Tunku Nashrul Tunku Abaidah membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya membersihkan namanya dan membenarkan apa yang disifatkan sebagai "kenyataan yang memberi kesan buruk dan berniat jahat" dari pejabat Anwar.

"Saya percaya kebenaran sentiasa akan tertegak. Tidak kira betapa terdesaknya pejabat Anwar hendak memburukkan nama saya, saya hanya boleh berpegang untuk menyatakan kebenaran, kerana saya rasa hidup lebih mudah dengan cara itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nashrul diarahkan meminta maaf kepada Yusoff dan membayar ganti rugi berhubung kenyataan media pada 2019, di mana beliau menafikan insiden serangan yang didakwa berlaku di pejabat Anwar.

Kenyataan itu dibuat susulan Yusoff membuat laporan polis, mendakwa beliau diserang secara fizikal oleh setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Yusoff juga memfailkan saman sivil berasingan terhadap Farhash, menuntut pampasan bagi kecederaan yang dialami selepas serangan itu.

Yusoff, yang bekerja di banglo pejabat Anwar di Bukit Gasing, Petaling Jaya, turut memfailkan saman terhadap presiden PKR itu, menuduhnya melakukan serangan seksual terhadapnya pada Oktober 2018, beberapa hari sebelum ketua pembangkang itu memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Yusoff mendakwa beliau mengalami trauma fizikal, psikologi dan sosial yang serius akibat kejadian itu. 

Kes tersebut masih berjalan di mahkamah.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.