- Iklan -
Berita

Pengundi mungkin tak pulang untuk PRU15 kerana harga tiket penerbangan naik

Harga tiket bagi beberapa syarikat penerbangan meningkat, menyebabkan ramai yang tidak pasti sama ada mereka dapat pulang untuk mengundi atau tidak.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Penumpang menunggu pesawat bersiap untuk berlepas dari Kuching ke KLIA.
Penumpang menunggu pesawat bersiap untuk berlepas dari Kuching ke KLIA.

Pengundi yang menetap jauh dari tempat tinggal meluahkan rasa kecewa apabila harga tiket penerbangan melonjak selepas tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diumumkan secara rasmi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis menetapkan hari mengundi jatuh pada 19 November 2022.

Sementara hari penamaan calon ditetapkan pada 5 November manakala pengundian awal pula pada 15 November.

Berdasarkan semakan MalaysiaNow di laman sesawang AirAsia.com bagi harga tiket penerbangan dua hala dari Kuala Lumpur sama ada ke Sabah atau Sarawak meningkat pada minggu hari mengundi.

Menurut laman sesawang itu setakat jam 6 petang 20 Oktober 2022, harga yang dipaparkan untuk penerbangan dua hala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu bagi tarikh 18 hingga 20 November 2022 ditetapkan pada RM395 hingga RM683 bagi seorang penumpang.

Harga yang dinyatakan merangkumi pelbagai syarikat penerbangan.

Ini menyaksikan peningkatan ketara berbanding lingkungan harga RM202 hingga RM573 yang dicatatkan pada tarikh 4 hingga 6 November 2022 iaitu dua minggu lebih awal hari mengundi.

Perkara ini dipersoalkan kerana mengikut kebiasaan, tiket penerbangan jika dibeli pada tempoh yang lebih singkat, sepatutnya lebih mahal. 

Sementara itu, penerbangan dua hala dari Kuala Lumpur ke Kuching untuk tarikh 18 hingga 20 November adalah antara RM328 hingga RM594, meningkat jika dibandingkan dengan tarikh 4 hingga 6 November iaitu antara RM162 hingga RM594.

Lonjakan harga penerbangan menarik perhatian ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati menerusi media sosial apabila mendakwa syarikat penerbangan mengambil kesempatan terhadap pengguna yang perlu pulang mengundi.

Selain itu, orang ramai turut mendesak syarikat penerbangan termasuk AirAsia dan Malaysia Airlines supaya menurunkan harga tiket agar pengundi terutamanya dari Sabah dan Sarawak tidak terbeban untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong baru-baru ini berkata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan mengawal selia harga tiket, supaya syarikat penerbangan tidak meningkatkan harga sewenang-wenangnya menjelang PRU15.

“Mengikut mekanisme harga dinamik yang mana-mana syarikat penerbangan dalam dunia tetapkan, lebih awal (tiket) ditempah, ia murah dan lebih dekat dengan satu tarikh atau peristiwa, harga akan menjadi lebih tinggi,” katanya.

Syamim Arshad, 34 dari Bintulu, berkata kenaikan harga tiket penerbangan ini sebenarnya bukan satu kejutan memandangkan ia sering berlaku setiap kali pilihan raya.

Bagaimanapun, katanya, tindakan ini disifatkan sebagai tidak wajar kerana ia dianggap menyusahkan rakyat.

"Jika (harga tiket) naik disebabkan cuti umum tidak mengapa, itu adalah pilihan pengguna sama ada nak beli atau tidak," katanya yang sudah menetap di Kuala Lumpur sejak 2017 kepada MalaysiaNow.

"Balik mengundi adalah wajib sebagai rakyat. Justeru, rakyat yang bertanggungjawab tidak mempunyai pilihan."

Dalam pada itu Syamim meluahkan dia masih belum membuat keputusan sama ada akan pulang ke Bintulu untuk mengundi.

"PRU14 pada 2018, saya balik mengundi," katanya. 

"Tetapi kali ini saya tidak pasti, maklumlah disebabkan kecelaruan politik sejak kebelakangan ini membuatkan saya keliru nak undi parti mana.

"Disebabkan situasi ini, saya berasa tidak berbaloi untuk pulang mengundi kali ini."

Sementara itu, pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Syahirah Azhar berkata kenaikan harga tiket itu kini adalah lebih daripada bajet untuk dia pulang ke Negeri Sembilan.

Oleh itu, Syahirah berkata, terdapat kemungkinan besar dia tidak akan pulang untuk mengundi.

"Kali terakhir saya menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching ialah pada 6 Oktober lalu dengan harga tiket lebih RM300.

"Justeru, saya tak dapat nak balik disebabkan kekangan kewangan," kata Syahirah sambil menyatakan ini kali pertama dia layak mengundi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.